Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan tuduhan beliau mahu menjadi kaya dengan hasil perlombongan nadir bumi lantanid di Gerik.
Menurut Saarani, beliau tidak akan membelakangkan keperluan rakyat dan membangunkan negeri ini melalui hasil bumi yang diperoleh kerajaan negeri. “Jangan ada sebarang pertuduhan mengatakan Menteri Besar Perak gila hendak jadi kaya melalui mencari gali lantanid.
“Tidak, Menteri Besar Perak tidak main benda itu. Cukup sudah gaji saya,” katanya kepada pemberita selepas menyampai hadiah kepada pemenang-pemenang Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak 2022 semalam. Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, pihaknya mengetahui terdapat hasutan mengatakan beliau mencari kekayaan peribadi dengan perlombongan lantanid yang akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja. “Ada sedikit hasutan kononnnya ‘masyuk’. Saya baca semua itu, saya dengar dengar dengan teliti ayat dia dan saya dengar kerana hendak ‘masyuk’. “Saya akan kekal dengan cara saya, saya tidak akan berniaga, tidak akan berlumba dengan rakyat negeri Perak untuk mencari kekayaan melalui lantanid,” katanya. Saarani berkata, perlombongan lantanid di Hulu Perak perlu dijalankan bagi membolehkan kerajaan negeri memperoleh pendapatan baharu demi rakyat. “Lantanid ini perlu dikeluarkan untuk menjadi hasil baharu kekayaan negeri Perak, baru dapat duit, baru boleh buat banyak benda, sekolah nak bantuan, sekolah agama nak bantuan, banjir nak bantuan, jalan raya kena baiki, nak bantu pelajar sekolah, belia, semua ini itulah duitnya,” katanya. Sementara itu, menjawab dakwaan pembangkang tidak dilibatkan dalam perbincangan perlombongan lantanid, Saarani berkata, mereka boleh diibaratkan tidur semasa sesi sidang dewan sebelum ini. “Bermakna mereka ini tidur dalam Dewan Negeri. Barang siapa dalam kalangan ADUN yang mengatakan bahawa mereka tidak tahu menahu perkembangan lantanid, mereka tidur dalam Dewan Negeri. “Dalam dewan negeri saya sudah jawab soalan itu, macam manalah wakil rakyat tidur dalam dewan negeri,” katanya. Sumber: UTUSAN |
ADVERTISEMENT