Saksi pendakwaan Mohd Fairuz Abu, 37, semalam, memberitahu mahkamah yang tidak wujud sebarang konspirasi antara dia dan Firdaus Wong dalam kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Lew.
Pakar motivasi itu turut tidak bersetuju bahawa sebarang hantaran media sosial berkaitan isu berkenaan serta pertemuan dengan pengadu di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021 adalah bertujuan bagi merosakkan reputasi tertuduh. "Saya tidak bersetuju," katanya ketika ditanya peguam mewakili Ebit Lew, Ram Singh. Mohd Fairuz berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pada sesi pemeriksaan balas pada perbicaraan kes gangguan seksual hari kedua membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom semalam.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia masih menyiarkan isu terbabit di media sosial mengenai tertuduh selepas pengadu membuat laporan polis, Mohd Fairuz memaklumkan dia tidak berbuat demikian, namun berbeza dengan Firdaus Wong yang masih memuat naik isu berkenaan. "Saya tidak, Firdaus ya," katanya. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan semula meminta penjelasan Mohd Fairuz mengenai tujuannya berjumpa pengadu ketika membuat laporan di Bukit Aman. Menurut Mohd Fairuz, pertemuan terbabit hanyalah bertujuan menemani pengadu serta suami sebagai tanda sokongan selain memberi keterangan. "Pertemuan ini berlaku di Bukit Aman, saya menemani beliau dan suami sebagai tanda sokongan dan juga memberi keterangan kepada pihak polis," katanya. Terdahulu, perbicaraan hari kedua Ebit Lew ditangguhkan dan disambung semula jam 9.30 pagi hari ini. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT