Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyerang anggota penguat kuasa bertugas dalam kawasan Petaling Utama pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penahanan dibuat berikutan laporan diterima daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 24 tahun sekitar jam 5.30 petang. "Mangsa mendakwa diserang semasa menjalankan tugas sebagai penguat kuasa lebih kurang jam 9.30 pagi pada Isnin apabila dia telah didatangi seorang lelaki tempatan. "Lelaki berkenaan bertindak memaki hamun menggunakan kata-kata kesat kerana mangsa mengeluarkan saman terhadapnya atas kesalahan lalu lintas," katanya dalam kenyataan pada Rabu yang dipetik Sinar Harian.
Berikutan itu, suspek berusia 56 tahun itu ditahan di sekitar Seksyen 7 oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah pada jam 5 petang Selasa. Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menyerang penjawat awam semasa menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan terhadap mangsa. - CARI
|
ADVERTISEMENT