Kuala Lumpur: Penangan tular selepas memperagakan badan sasa pada perarakan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu menjadikan 'abang' bomba menjadi perhatian warganet, sekali gus menjadikan mereka memiliki ribuan peminat dalam masa singkat.
Malah, ada dalam kalangan anggota terbabit turut menerima undangan pelbagai pihak untuk memperagakan badan mereka yang sasa itu seraya menyampaikan mesej betapa memiliki tubuh badan yang sempurna menjadi impian setiap lelaki atau wanita. Jumlah pengikut anggota bomba, Mohamad Elyias Afendi, 32, di media sosial meningkat dengan mendadak selepas tular dia memperagakan badannya yang sado ketika perbarisan semmpena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 di Dataran Merdeka, baru-baru ini. Dia yang bertugas di Bahagian Kejuruteraan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, sepanjang lima tahun berkhidmat dalam pasukan, dia sudah dua kali menyertai perarakan sambutan hari kemerdekaan. "Sebelum ini, saya pernah menyertai perarakan hari kemerdekaan di Putrajaya pada 2019 namun ketika itu sambutan tidak sehebat kali ini. "Saya sendiri terkejut melihat sambutan luar biasa kali ini hingga gambar dan video kami tular di media sosial," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah di sini, baru-baru ini. Mohamad Elyias yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, sebelum ini dia tidak aktif di media sosial dan hanya membuka akaun Facebook dan Tik Tok baru-baru ini selepas isu tular berkenaan. "Dalam tempoh tiga hari sahaja, permintaan sebagai rakan di Facebook mencapai kapasiti penuh iaitu 5,000 rakan manakala di TikTok pula, saya memiliki lebih 1,000 pengikut dalam tempoh sama. "Apabila ramai pengikut dan rakan di media sosial, ada pelbagai komen saya terima termasuk komen nakal daripada wanita tidak dikenali. Bagaimanapun, ada komen yang saya tidak layan kerana tidak mahu 'hanyut' dalam fasa tular ini kerana mahu menjaga hati keluarga termasuk isteri," katanya yang mempunyai tiga anak berusia antara 13 hingga dua tahun. Seorang daripada 20 anggota bomba yang tular dalam perarakan itu, Muhammad Redzwan Haziq, 27, beliau tidak menyangka begitu ramai yang hadir pada sambutan hari kemerdekaan kali ini yang pertama kali disertainya. "Ada yang orang ramai yang saya lihat sampai memanjat pokok untuk menyaksikan perarakan dan melambai ke arah kami. Melihat keadaan itu mengundang rasa bangga dalam diri saya sebagai anggota bomba. "Apabila gambar dan video saya viral di media sosial, makin ramai yang kenal saya hingga ada antara mereka belanja saya makan selain pengikut serta rakan di media sosial bertambah sekali ganda daripada 1,000 kepada 2,000 dalam tempoh dua hari. "Ia sekali gus membantu meningkatkan jualan perniagaan barang terpakai yang saya jalankan," katanya yang bertugas di Bahagian Operasi BBP Sungai Besi. Muhammad Redzwan berkata, beliau menyertai Kelab Bina Badan Bomba Malaysia semasa dalam latihan kerana minta untuk memiliki badan sasa dan kekal aktif bersama kelab itu sehingga kini dengan menyertai pelbagai program yang dijalankan. "Dengan adanya kelab ini, ia membantu saya mengekalkan bentuk badan sasa dengan menyertai program dan latihan bersama rakan setugas yang lain. Dari situ, saya dapat banyak pengalaman termasuk dari segi penjagaan makanan," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang. 'Pengikut media sosial makin ramai' "Ada ramai juga wanita hantar kiriman mesej di Facebook cuma saya abaikan yang berbaur nakal dan tidak sepatutnya," kata anggota bomba, Amir Abd Kassim. Amir, 47, serta beberapa rakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)) mencetuskan fenomena selepas video serta gambar mereka tampil sado ketika menyertai perarakan jentera bomba sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu tular di laman sosial. Sejak itu, pengikutnya di Facebook bertambah terutama dalam kalangan wanita walaupun dia lebih berusia berbanding anggota lain dan hampir mencecah separuh abad. Penangan tular juga menyebabkan jadual Amir dan rakan anggota terbabit penuh kerana perlu memenuhi undangan sesi temubual dan fotografi bersama media dan dia tidak menyangka pendapat perhatian meluas sedemikian. "Saya sudah 22 tahun berkhidmat dengan JBPM dan perarakan tempoh hari adalah yang kedua saya sertai. "Tak sangka ramai yang datang pada hari berkenaan dan lebih mengejutkan apabila gambar dan video perarakan saya juga rakan anggota tular di laman sosial. "Sejak tular, memang ramai mahu berkenalan dan ada juga berminat menggunakan khidmat saya sebagai jurulatih kecergasan. "Syukur dengan tawaran yang datang dan saya menganggapnya sebagai rezeki. Setakat ini, isteri faham dan tidak timbul soal cemburu kerana dia sudah tahu saya bagaimana orangnya," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di sini, baru- baru ini. Sementara itu, Mohamad Syahmifadhil Mohd Afendi, 22, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selangor tidak menyangka penyertaan sulungnya dalam perarakan Hari Kebangsaan lalu memberi peluang untuknya merasai limpahan populariti. Menurut Mohamad Syahmifadhil, pengikutnya di Instagram (IG) juga bertambah hampir lebih dua kali ganda iaitu 400 menjadi lebih 1,000. -CARI Sumber: Harian Metro
|
elzy replied at 26-9-2022 03:57 PM
Tak fahamlah apa yang diaorang nak kalau semua tu dah ada keluarga, anak, isteri.. On top of that ya ...
Kurex replied at 26-9-2022 04:27 PM
Semoga dapat main pili2 air abam bomba
Kurex replied at 26-9-2022 04:27 PM
Semoga dapat main pili2 air abam bomba
ADVERTISEMENT