Pakar-pakar politik China mendakwa kelibat anak perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dirakam dalam salah satu acara rasmi negara komunis berkenaan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Gadis yang dikenal pasti sebagai Kim Ju-ae itu dikatakan muncul di atas pentas pada sambutan Hari Kebangsaan Korea Utara awal bulan ini. Dia adalah salah seorang daripada beberapa kanak-kanak yang mempersembahkan lagu untuk Kim Jong-un dan isteri, Ri Sol-ju tetapi ada sesuatu istimewa tentang kanak-kanak itu yang menonjol di mata pakar-pakar tersebut. Menulis di bawah alias Samhero, seorang penganalisis blog InDPRK mencatat bagaimana Sol-ju meluru ke arah kanak-kanak tersebut pada penghujung rancangan. So-ju meletakkan tangannya di belakang kanak-kanak itu dan dilihat bercakap dengannya secara peribadi. Penganalisis melihat petunjuk lanjut semasa persembahan itu sendiri apabila fokus kamera tertumpu kepada kanak-kanak tersebut semasa nyanyian bermula, berlarutan selama beberapa saat sebelum kembali kepadanya berulang kali. Sementara itu, penampilannya juga sangat menyerlah apabila dia satu-satunya gadis yang memilih gaya rambut lepas dan memakai stokin putih. Pakar elit Korea Utara, Michael Madden berkata, anak perempuan Kim adalah sebaya dengan kanak-kanak terbabit. “Dia akan berusia hampir 10 tahun pada 2022 iaitu kira-kira umur kanak-kanak yang ditunjukkan dalam rakaman media pemerintah,” kata Madden. Madden menekankan bahawa pendedahan yang terlalu terbuka tentang identiti anak perempuan Jong-un adalah sangat berisiko buat pemimpin tersebut. Pelbagai insiden seperti penculikan, cubaan membunuh atau dicederakan mungkin terjadi jika identitinya diketahui umum. “Ketika Jong-un masih kanak-kanak dan remaja, dia dipisahkan daripada semua orang kecuali tentera elit Korea Utara yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau peribadi rapat dengan bapanya. “Tiada sesiapa dibenarkan berinteraksi dengannya atau adik-beradik lain tanpa kebenaran bapanya. Kewujudan Kim Ju-ae disahkan bintang bola keranjang, Dennis Rodman yang melawat Jong-un pada 2013. “Khabar angin perisikan mengenai anak-anak Jong-un mengatakan bahawa beliau mempunyai tiga anak, dua anak perempuan dan seorang lelaki. Rejim pemerintah Korea Utara terkenal dengan prinsip menutup mulut mengenai keluarganya. Jong-un sendiri hanya diperkenalkan kepada rakyat Korea Utara pada 2010 setahun sebelum kematian bapa dan pendahulunya, Kim Jong-il. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT