Luluh hati seorang gadis melihat barang kesayangannya dibuang dan dibakar sampai hangus, dipercayai dilakukan oleh bapanya sendiri.
Netizen juga begitu sayu dan hiba apabila melihat video menunjukkan remaja perempuan itu yang memakai pakaian seragam sekolah menangis sebaik mendapat tahu koleksi barangan K-popnya dibakar. Berdasarkan keterangan video tular itu, ia dipercayai dimuat naik oleh ibu gadis tersebut, menyatakan bahawa anaknya sedih apabila mendapat tahu koleksi kesayangan dibakar tanpa dimaklumkan terlebih dahulu. "Dia beli mahal katanya, ada juga yang kawan-kawan bagi. Tahu-tahu dah habis dibakar," demikian menurut seorang pengguna TikTok.
Selain koleksi barangan, buku jurnal yang dihasilkan oleh gadis itu yang memaparkan artis K-pop juga dibakar oleh bapanya. Rakaman berdurasi satu minit dan 27 saat itu turut menunjukkan gadis berkenaan yang masih berbaju seragam sekolah ke luar rumah untuk meninjau lokasi pembakaran.
Tidak putus harapan, gadis itu sanggup menyelongkar sisa-sisa koleksi yang tidak terbakar tetapi kebanyakannya hanya tinggal abu. Dalam suasana pilu, gadis tersebut menjumpai sebuah kotak dan mendapati di dalamnya masih mengandungi beberapa koleksi yang masih elok serta separuh hangus. Antara yang 'selamat' dan masih dalam keadaan baik adalah lencana dan beberapa keping gambar artis K-pop. "Sedih sungguh, kutip juga mana yang tersisa. Jadikan pengajaran," katanya, sambil menjelaskan dia bagaimanapun tidak menggalakkan atau menyokong minat anaknya itu, tetapi mengakui tindakan membakar koleksi barangan tersebut adalah tidak wajar. Menerusi ruangan komen, pengguna TikTok yang berkongsi video tersebut memberitahu dia tidak membakar koleksi barangan K-pop milik anaknya. "Post untuk kenangan je. Bukan mama dia yang bakar ye, tapi mama rekod. Mama pun tak setuju ye, jadi jangan kecam mama dia," katanya. Dalam pada itu, seorang pengguna TikTok tampil mendakwa dirinya sebagai gadis di dalam video yang tular dan mendedahkan bahawa bapanya yang membakar koleksi K-pop tersebut. "Abah saya bakar, mama saya yang rakam. Mama saya pun ada tegur cara abah saya masa dapat tahu. 'Ni la buat anak macam ni macam mana anak nak dekat' kata mama," tulisnya berserta emoji sedih. Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib yang menimpa gadis berkenaan dan berpandangan ibu bapa tidak sepatutnya membakar koleksi barangan K-pop tersebut. "Anak saya pun macam ni gila K-pop. Saya membebel juga, tapi bila ingat minat ni akan berlalu dengan masa. Saya muda pun minat artis, kumpul dan tampal gambar dan macam-macam. "Yang dia bakar tu sebenarnya jiwa anak. Ada cara nak didik. Jangan sesekali main jiwa tau. "Aku lebih senang kalau anak-anak minat benda-benda begitu dari dia minat keluar lepak dengan kawan-kawan yang tak tentu hala. Mereka perlu ada minat untuk distract dari stres hidup. "Benda tu dah la mahal, kalau mak ayah tak suka boleh je slow talk dulu dan benda tu laku jika jual balik. Kebanyakannya orang jual balik, bukan bakar. "Kasihan dia. Kenapa buat macam tu? Lain la dia buat benda salah dan tahap minat dia tu melampaui batas. Sabar ye dik," demikian antara komen netizen. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|