Enggan dirinya terus dipijak dan dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab, penyanyi dan pelakon Azza Elite membuat laporan polis terhadap pengusaha butik ekoran isu gagal melunaskan tuntutan bayaran bagi penglibatannya dalam sebuah program sebelum ini.
Azza atau Noor Azzarima Zawari berkata, dia membuat laporan berkenaan di Balai Polis Ukay Perdana, Kuala Lumpur pada 14 September lalu bagi menuntut haknya daripada pihak berkenaan. Hasil daripada laporan polis yang dibuat, bekas anggota kumpulan Elite itu memberitahu pihak berkenaan telah pun menjelaskan bayaran yang dijanjikan kepadanya. "Alhamdulillah sudah selesai semuanya. Tak perlulah saya panjangkan isu ini kerana tidak elok mengaibkan sesiapa," katanya ketika dihubungi mStar.
Azza sebelum itu berkongsi tentang perkara berkenaan dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya. Dalam pada itu, Azza berkata, apa yang berlaku kepadanya dijadikan sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak di masa akan datang. Kata Azza, dia sedar dalam beberapa perkara terutamanya berkaitan urusan kerja dia perlu menjadi lebih tegas atau akan ada pihak mengambil kesempatan terhadapnya. "Kita perlu tegas dalam beberapa perkara. Kalau berlembut tak kena tempat, memang orang akan pijak kepala kita. "Apa yang berlaku juga saya jadikan pengajaran untuk lebih berwaspada apabila bekerjasama dengan mana-mana pihak pada masa akan datang. "Bukan saya sahaja, sesiapa juga boleh ambil iktibar. Kalau ada urusan perniagaan, perlu ada invois sebagai bukti," jelasnya.
|
ADVERTISEMENT