Seorang wanita dibicarakan minggu ini di Texas kerana didakwa membunuh seorang kenalannya yang hamil untuk mencuri bayi dalam kandungan rakannya itu untuk dibuat sebagai anak sendiri.
Taylor Parker, 29, berdepan hukuman mati untuk serangan Oktober 2020 di New Boston di timur laut Texas terhadap Reagan Simmons-Hancock, 21. Dalam tragedi ngeri berkenaan, bayi itu juga tidak terselamat, namun Parker sudah membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan pembunuhan itu. Pendakwa raya berkata, Parker menyamar selama berbulan-bulan untuk kelihatan hamil kepada teman lelakinya dan menyiarkan di media sosial mengenai keadaan fizikalnya yang palsu semasa mencari bakal mangsa.
Parker tidak boleh mempunyai anak sendiri, setelah menjalani histerektomi. Pendakwa raya berkata Parker melakukan muslihat untuk membuat teman lelakinya menyangka dia mengandung anaknya, kerana dia takut kehilangan lelaki itu. Pihak pendakwaan mengatakan bahawa pada 9 Oktober 2020 Parker pergi ke rumah Simmons-Hancock, rakannya yang berada di peringkat akhir kehamilannya, dan menikamnya lebih daripada 100 kali. Parker didakwa mengeluarkan janin daripada mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian. Pada masa kejadian, anak mangsa yang lain berusia tiga tahun tidur di bilik lain. Parker sedang memandu dengan bayi di pangkuannya apabila polis menahannya tidak lama kemudian dengan mendakwa dia baru sahaja bersalin. Bayi itu dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia. Perbicaraan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya sebulan. Pada Selasa, mahkamah mendengar bahawa beberapa minggu sebelum pembunuhan itu, Parker mula memerhatikan wanita hamil di kedai pakaian bayi atau wad bersalin, lapor televisyen KTAL. Sejurus sebelum serangan Oktober lalu itu, Parker menonton video wanita bersalin dengan kaedah pembedahan, dakwa pihak pendakwaan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT