Google dan Meta didenda lebih AS$71 juta (RM321 juta) di Korea Selatan, jumlah denda tertinggi pernah dikenakan di negara itu.
Ia kerana kedua-dua syarikat berkenaan mengumpul maklumat peribadi pengguna tanpa kebenaran bagi tujuan pengiklanan. Pengarah Biro Siasatan Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Korea Selatan, Yang Cheong-sam berkata, siasatan terhadap dua gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu mendapati mereka 'mengumpul dan menganalisis' data pengguna, serta memantau penggunaan laman sesawang dan aplikasi. "Data itu digunakan untuk mengenal pasti kecenderungan pengguna atau bagi tujuan pengiklanan dalam talian secara bersasar.
"Google dan Meta tidak memberitahu pengguna Korea Selatan secara jelas mengenai amalan berkenaan atau mendapatkan kebenaran mereka," katanya. Disebabkan itu, menurutnya, Google dikenakan denda berjumlah AS$49.7 juta (RM224.9 juta), manakala Meta didenda AS$22.1 juta (RM100 juta). "Ini adalah denda terbesar yang pernah dikenakan kerana melanggar Akta Perlindungan Maklumat Peribadi," katanya dalam satu kenyataan. Menurut suruhanjaya itu, majoriti pengguna di Korea Selatan, merangkumi 82 peratus pengguna Google dan 98 peratus Meta, tanpa disedari membenarkan data penggunaan dalam talian mereka dikumpul. "Boleh dikatakan kemungkinan dan risiko pelanggaran hak pengguna adalah tinggi," katanya. Tahun lalu, Korea Selatan mendenda Google hampir AS$180 juta (RM815 juta) kerana menyalah gunakan penguasaannya dalam pasaran sistem operasi telefon pintar dan aplikasi, dengan mendakwa syarikat itu menyekat persaingan dalam pasaran. Syarikat teknologi AS kerap dikritik kerana menguasai pasaran dengan cara menyingkirkan pesaing, dan beberapa kerajaan di seluruh dunia cuba mengekang perkara itu. Kesatuan Eropah (EU) menyelar Google dengan mengenakan penalti anti pakatan tertinggi, selain turut menyiasat Apple dan Microsoft. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT