SUMATERA: Seorang lelaki di Bengkulu tergamak membunuh dan memasak kucingnya sendiri yang sedang bunting kerana kelaparan.
Lapor Tribunnews, suspek berusia 26 tahun itu mengaku kucing yang menjadi mangsa adalah haiwan kesayangan miliknya yang dibela sejak tiga tahun lalu. “Itu bukan kucing orang lain, tetapi kucing peribadi yang merupakan peliharaan saya. “Saya terpaksa sebab lapar dan malam itu makanan yang tinggal sudah basi,” katanya dalam video Instagram.
Bagaimanapun, tindakan tidak berperikemanusiaan itu dikecam penduduk di Kabupaten Bengkulu Utara yang berasa simpati terhadap nasib kucing betina tersebut. Sementara itu, Ketua Polis Bengkulu Utara, Andy Pramudya Wardana berkata, kejadian berlaku ketika kucing berwarna putih dengan tompok hitam dan coklat itu melompat ke arah pemiliknya yang sedang tidur. “Suspek kemudian menangkap dan membawa kucing itu ke bilik air sebelum menyembelihnya. “Malah, dia turut merakam aksi membunuh haiwan itu sebelum dimuat naik dalam Facebook dan Instagram sehingga menimbulkan kegelisahan dalam masyrakat,” katanya. Menurut Andy, suspek berdepan hukuman penjara sembilan bulan kerana melakukan kekerasan terhadap haiwan. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT