Sebuah menara komunikasi berwarna hijau dan ungu di Sri Lanka yang dibiayai China dibuka semula minggu ini, menurut pengurusan menara itu Isnin lalu.
Menara itu menjadi simbol keakraban pentadbiran bekas Presiden di bawah keluarga Rajapaksa dengan Beijing. Lotus Tower (Menara Teratai) setinggi 350 meter itu boleh dilihat dari seluruh Colombo, dan dibina dengan anggaran kos AS$113 juta (kira-kira RM511.4 juta). Pembinaan menara itu mencetuskan kontroversi rasuah sejak pentadbiran bekas presiden Mahinda Rajapaksa pada 2012.
Menara ini adalah satu daripada beberapa projek 'gajah putih' yang dibina dengan pinjaman China di bawah Rajapaksa. Mahinda adalah abang kepada Gotabaya yang disingkirkan daripada jawatan presiden pada Julai lalu, selepas protes berbulan lamanya susulan krisis ekonomi teruk di Sri Lanka. Syarikat pengurusan menara milik kerajaan itu berkata, pihaknya membuat keputusan untuk membuka dek tinjau kepada pelawat mulai Khamis. Keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerugian pembinaannya dapat diminimumkan menerusi jualan tiket. "Kami tidak boleh menutup menara ini kerana kos penyelenggaraannya adalah besar. "Syarikat mahu menampung kos penyelenggaraan menara dan menjadikan ia sebagai pusat hiburan," kata Ketua Eksekutif Prasad Samarasinghe. Syarikat itu juga berharap ruang pejabat dan kedai termasuk restoran berputar di bawah dek tinjau, dapat disewakan. Media tempatan pada Isnin melaporkan, pembinaan menara itu sebagai 'kisah kebanggaan dan pembaziran'. Ia dianggap sebagai projek sia-sia Rajapaksa yang mahukan meniru fungsi Menara Radio dan Televisyen Pusat Beijing, setinggi 405 meter. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT