Hazama Azmi, 37, belum sedia membicarakan impian konsert solonya selagi penganjuran Konsert 4G's Gabungan Melodi Terindah belum direalisasikan buat peminat.
Hazama berkata, sebagai penghibur semestinya dia mempunyai impian untuk muncul dengan konsert solo. Namun, katanya dia kena bersikap adil kepada peminat yang sudah lama membeli tiket untuk menyaksikan konsert itu. "Tak adil untuk saya berbicara soal impian bagi menjayakan konsert solo selagi Konsert 4G's Gabungan Melodi Terindah tidak berlangsung dan dijangkakan dapat direalisasikan pada tahun depan. Dalam hal ini, saya harus menghormati perasaan peminat yang sudah membeli tiket.
"Apatah lagi, sebagai Duta Anti Scam, sudah pasti saya kena cakap serupa bikin agar peminat tidak berasa mereka ditipu. Saya tak mahu diri sendiri yang dianggap 'scammer' oleh peminat. Jadi, biar kita 'settle' satu-satu dulu," katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan Konsert 4G's Gabungan Melodi Terindah yang menggabungkan Hazama, Black, Tomok dan Akim sepatutnya berlangsung di Istana Budaya pada April 2020 lalu. Namun, ia ditangguhkan akibat penularan Covid-19 dalam negara ketika itu. Apapun, sehingga kini peminat disarankan menyimpan tiket yang sudah dibeli, berikutan difahamkan penganjur masih berusaha mencari lokasi sesuai kerana pada masa sekarang agak sesak disebabkan banyak pihak berlumba-lumba menganjurkan konsert.
Menurut Hazama lagi, melihatkan penerimaan baik dan sambutan positif peminat yang sanggup membeli tiket bagi menonton konsert, ia sebenarnya perkembangan sangat bagus kepada industri hiburan. "Berbanding 10 tahun lalu yang lebih menjurus pada 'show' nyanyian percuma, sekarang saya dapati keadaan lebih baik kerana ramai peminat dah sanggup membeli tiket untuk menonton konsert. "Begitu juga dengan perkembangan filem tempatan apabila kita dapati jumlah kutipan filem di wayang juga berjaya mencatat 'box-office' berjuta-juta. Jadi, saya fikir penonton kini semakin menghargai karya seni dihasilkan dengan sokongan diberi," katanya.
Terdahulu, Hazama ditemui pada majlis penyerahan sijil pelantikan sebagai seorang daripada 104 individu terdiri daripada kalangan selebriti, atlet serta 'influencer' atau pempengaruh media sosial yang dipilih menjadi Duta Anti Scam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Acara penyerahan sijil itu disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|