Terlalu sibuk dengan komitmen kerja, penyanyi, Hazama mendedahkan isterinya, Genervie Kam terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk mendapatkan rawatan kesuburan 'in vitro fertilization' ( IVF).
Menerusi laporan Gempak, kata Hazama, mereka berdua sedang mencari tarikh yang sesuai dan perancangannya adalah pada tahun hadapan.
"Keadaan belum mengizinkan, tengah tunggu waktu yang sesuai sebab kami berdua buat masa ini masing-masing sibuk dengan kerja.
"Saya dengan kerjaya seni manakala isteri pula sibuk menguruskan perniagaan Asam Laksa. Rezeki selepas pandemik.
"Saya rancang tahun depan. Tahun ini kita selesaikan mana-mana bahagian yang perlu terlebih dahulu," katanya.
Katanya lagi, dia tidak terasa hati apabila ada orang bertanyakan soal anak kerana bukan tugasnya untuk memberikan jawapan.
Sebaliknya, dia hanya berserah kepada Allah selain berikhtiar.
"Isteri saya okey. Tahun depan umurnya 43 tahun. Saya risau juga sebab kita pun ada dengar orang kata bila usia sudah 40 lebih ini risikonya agak tinggi.
"Jadi, saya ada sedikit kerisauan di situ. Tapi, doakan yang terbaik, kita dah cuba usaha, dah buat macam-macam.
"Sekiranya dikurniakan rezeki maka adalah, jika tiada, tiadalah. Tetapi, saya reda dengan semua ketentuan yang Tuhan telah tetapkan," katanya.
Menyedari emosi wanita yang lebih sensitif, kata Hazama, dia sebagai lelaki perlu memainkan peranan bagi memahami situasi yang dialami oleh isterinya.
Baginya, setiap kekurangan individu pasti akan ada kelebihannya.
"Jadi, kita seimbangkan benda itu. Kena sentiasa bersyukur. Keluarga juga okey, tidak memberikan tekanan tentang perkara ini. Tekanan selalunya datang daripada orang luar.
"Saya tak ada masalah sebab anak buah saya ada empat orang, kadang-kadang duduk dengan saya.
"Mereka itu sudah saya anggap seperti anak saya juga, jadi kita layan pun macam anak juga," katanya.
Terdahulu, pasangan Hazama dan Genervie yang sudah enam tahun berkahwin meluahkan hasrat untuk berikhtiar mendapatkan anak menerusi proses IVF. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My