Pembinaan sekolah baharu pada masa hadapan perlu mengambil kira konsep pembangunan kondusif dan menjamin keselesaan murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan akan memastikan peruntukan pembangunan bagi setiap sekolah berkenaan dioptimumkan. Beliau berkata, reka bentuk sekolah pula akan lebih praktikal dengan mengambil kira semua maklum balas yang diterima dari lapangan. “Ramai ibu bapa termasuk murid merungut bahawa reka bentuk tandas sekolah tidak selesa selain pengudaraan yang tidak sempurna.
“Tandas sekolah sedia ada ketika ini berkonsepkan tandas basah dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik menyebabkan ada antara pelajar yang mengelak untuk makan di sekolah supaya tidak perlu ke tandas ketika esi persekolahan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif, di Sekolah Alam Shah, Putrajaya, semalam. Katanya, bagi pembangunan baharu sekolah, aspek pengudaraan tandas, bumbung sekolah dan aliran air hujan akan ditambah baik demi menjamin keselamatan murid di sekolah. Radzi berkata, pembinaan sekolah sepatutnya berbaloi dengan peruntukan yang dikeluarkan selain penggunaannya dapat dioptimumkan. Menurutnya, projek infrastruktur sekolah terbahagi kepada dua komponen iaitu pembangunan dan penyelenggaraan. “Pembangunan ada banyak komponen iaitu pembinaan sekolah-sekolah baharu, bangunan baharu, bangunan gantian khusus untuk sekolah bangunan daif,” katanya. Pada masa sama, Radzi berkata, kementerian juga akan meneliti rungutan pihak sekolah kononnya berlaku kelewatan daripada segi peruntukan untuk menyelenggara dan baik pulih bangunan sekolah yang rosak. “Kita mahu karenah birokrasi ini diatasi segera kerana bangunan rosak yang terbiar lama dan tidak dibaiki boleh menyebabkan peningkatan kos baik pulih. “Sejak dua setengah tahun yang lalu, KPM telah ‘merawat’ pelbagai projek sakit dan membaik pulih serta menyelenggara bangunan rosak ini malah, ia sudah pun boleh digunakan,” katanya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT