Penyanyi dan pelakon, Ziha Salleh sudah bersiap sedia dengan kritikan dan kecaman netizen yang mungkin akan mempertikaikan kemenangannya bagi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi lagu Adat Kasih di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) malam tadi (Ahad).
Memetik laporan Harian Metro, Ziha tiada masalah untuk membaca segala komen netizen mengenai kemenangan yang diraih andai itu adalah salah satu cara untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
"Saya sudah lalui macam-macam perkara sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni. Jadi, mesti ada pertikaian netizen. Saya nak tahu apa kata netizen dan akan saya ambil sebagai pengajaran. Apa yang baik saya akan teruskan manakala yang kurang baik saya perbaiki.
"Sebenarnya, lagu ini saya dedikasikan kepada ibu bapa saya. Saya membesar di Johor Bahru dan bermula sebagai penari zapin. Bapa saya pun gemarkan lagu genre tradisional. Insya-Allah, selepas ini saya akan teruskan usaha untuk keluar dengan karya irama Malaysia dan etnik kreatif," katanya.
Menewaskan beberapa penyanyi ternama seperti Anakanda nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah), Intan Payung (Bunga ft Noraniza Idris), Sang Purnama (Wany Hasrita & Wani Syaz), Ziha sama sekali tidak pernah menjangka anugerah tersebut akan menjadi miliknya.
"Saya terkejut dan bersyukur, tak sangka boleh meraih trofi ini dan menewaskan calon-calon lain yang berbakat. Dulu, saya pernah menyertai program realiti di sebuah stesen televisyen berbayar pada 2014. Selepas itu, saya banyak berlakon dan lagu ini menjadi 'comeback' untuk saya," katanya.
Sumber IG
Selain kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, Ziha turut membawa pulang trofi Kulit Single/Album terbaik menewaskan Salammusik (Borak), Amylea (Kendati), Rzaak A'ai (Radio) dan Dayang Nurfaizah (Belagu). -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My