Kementerian Kesihatan mengesyorkan kepada majikan untuk menambah satu hari cuti khas buat pekerja untuk menjalani saringan kesihatan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, tambahan cuti berkenaan bagi memastikan pekerja dapat menjalani saringan kesihatan yang kebiasaannya dilaksanakan setahun sekali. Menurut beliau, adakalanya pekerja terpaksa mengambil cuti lebih daripada jumlah yang dibenarkan bagi tujuan menjalani saringan kesihatan. “Majikan bagi cuti satu hari setahun kepada pekerja mereka supaya buat saringan kesihatan, kalau tidak mereka mungkin tidak ada masa, waktu bekerja tidak boleh pergi.
“Hari minggu sibuk dengan anak-anak dan keluarga dan akhirnya mereka tidak dapat buat saringan kesihatan. “Baru-baru ini, saya sudah minta Kementerian Kewangan melihat peraturan yang boleh dibuat supaya majikan di Malaysia ini dapat memberikan cuti saringan kesihatan, satu hari setiap tahun kepada pekerja mereka,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Merdeka@Parlimen Rembau anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sembilan di Balai Raya Kampung Seri Kendong, di sini hari ini Mengulas lanjut, Khairy berkata, tambahan cuti sehari buat pekerja itu akan dibincangkan bagi pembentangan Belanjawan 2023 memandangkan langkah tersebut akan memberi kesan kepada majikan. Pada bulan Julai lalu Khairy dilaporkan berkata, kesedaran rakyat mengenai kepentingan saringan kesihatan masih rendah dengan 53 peratus rakyat Malaysia tidak membuat saringan kesihatan setiap tahun. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT