Tujuh maut selepas terperangkap di tempat letak kereta bawah tanah semasa banjir akibat Taufan Hinnamnor di Korea Selatan iaitu ribut terkuat melanda negara itu awal minggu ini.
Mereka dipercayai turun ke kawasan itu untuk mengalihkan kereta, tetapi terperangkap dek arus deras, lapor BBC. Dilaporkan, pasukan penyelamat hanya berjaya menyelamatkan dua mangsa yang berpaut pada paip siling selama lebih 12 jam. Pasukan penyelamat terpaksa mengharungi beberapa meter air pasang untuk memasuki ruang bawah tanah yang hampir tenggelam sepenuhnya pada malam Selasa.
Menurut laman berita Yonhap, kesemua sembilan yang maut adalah penghuni sebuah bangunan pangsapuri yang telah diberitahu oleh pejabat pengurusan untuk memindahkan kereta mereka dari tempat letak kereta. Mangsa yang terselamat merupakan seorang lelaki berusia 30-an dan wanita dalam lingkungan 50-an dan mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Presiden Yoon Suk-yeol meluahkan kesedihannya atas tragedi itu menyifatkan ia sebagai “bencana”. “Saya tidak dapat tidur malam tadi kerana tragedi ini,” katanya. Pohang, bandar tempat tragedi itu berlaku, telah mengalami kerosakan paling teruk di seluruh negara. Di satu kawasan lain, struktur sebuah hotel tepi pantai runtuh semasa ribut namun tiada pengunjung yang cedera. Sekurang-kurangnya 10 orang kini maut akibat Taufan Hinnamnor, yang melanda pantai selatan dan timur Korea Selatan pada Isnin dan Selasa, menyebabkan ombak besar, angin ribut dan hujan lebat. Beberapa bandar lain di selatan termasuk Busan dan Ulsan turut terkesan dengan serpihan yang disebabkan oleh ribut, yang meruntuhkan jalan, memecahkan tingkap bangunan dan pokok tumbang. Korea Selatan seperti kebanyakan negara di Asia Timur mengalami hujan lebat serta rekod suhu sejak beberapa bulan lalu. Sumber: MalaysiaGazette |
ADVERTISEMENT