Jualan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dijangka pulih tahun ini membuat SNS Network Technology Bhd optimis mengenai pertumbuhan masa depannya.
Pengarah Urusannya, Ko Yun Hung berkata, ia seiring pemulihan ekonomi selepas kebanyakan perniagaan dan organisasi mengurangkan perbelanjaan ICT sejak dua tahun lepas berikutan pandemik Covid-19 melanda negara. “Segmen komersial menyumbang 70 peratus kepada perolehan kami sejak empat tahun lepas jadi, kami percaya kami akan dapat menikmati manfaat apabila orang ramai dan perniagaan mula berbelanja semula.
“Ini kerana mereka perlu menambah baik infrastruktur ICT sedia ada mereka, sekali gus mewujudkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan peranti-sebagai-perkhidmatan (DaaS) berasaskan langganan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian syarikat itu, di Galeri Penyenaraian Bursa Malaysia pada Jumaat. Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, perniagaan dan organisasi mengambil pendekatan ketat dalam perbelanjaan disebabkan ketidaktentuan. Bagaimanapun, SNS menjangkakan penjualan tertangguh dua tahun itu direalisasikan tahun ini memandangkan penggunaan ICT berkembang pesat berikutan pembukaan semula ekonomi. Bernama melaporkan, SNS Network Technology mula disenaraikan di Pasaran ACE pada Jumaat dengan mencatat harga pembukaan tidak berubah dari harga terbitan 25 sen. Difahamkan, SNS menyasar untuk mengumpulkan RM90.72 juta daripada tawaran awam awal itu, dengan 34.1 peratus atau RM30.9 juta akan disediakan untuk mengembangkan perkhidmatan DaaS berasaskan langganan. Selain itu, ia juga akan memperuntukkan RM33.4 juta daripada hasil berkenaan bagi perbelanjaan modal manakala RM2.5 juta akan digunakan untuk membuka 10 kedai runcit baharu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang yang dijangka diwujudkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sehingga 30 Jun lalu, SNS merekodkan 82 langganan DaaS bernilai RM255.86 juta dan menerima 75 pertanyaan daripada badan kerajaan serta syarikat senaraian awam. Mengenai jenama dalamannya, JOI, Ko yakin syarikat itu akan terus membangunkan produk untuk segmen pasaran mampu milik kerana sentiasa ada permintaan yang baik untuk peranti peringkat awal. “Kami akan terus menjajarkan syarikat dengan strategi ini dan mengeluarkan lebih banyak produk, contohnya, papan pintar yang menggantikan projektor konvensional atau papan putih yang biasa digunakan di dalam bilik darjah,” katanya. Malah, JOI yang dilancarkan pada 2014 dengan memperkenalkan tablet JOI 8 kini menyumbang dua peratus kepada perolehan syarikat itu. - CARI |
ADVERTISEMENT