Kerakusan orang tengah cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan caj terlalu tinggi menyebabkan nama kumpulan Floor88 'membusuk' apabila pihak penganjur persembahan enggan memanggil mereka membuat persembahan.
Vokalis Floor88, Ayie berkata, mereka mula menyedari perkara tersebut selepas dimaklumkan seorang rakan terdekat mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab individu berkenaan sehingga menjejaskan periuk nasi mereka. "Sebenarnya kami pun tak mengenali individu tersebut cuma dapat tahu apabila seorang rakan maklumkan ada penganjur tidak mahu jemput kami kerana harga dikenakan terlalu tinggi.
"Memang kecewa apabila berlaku perkara seperti ini kerana ia sudah memburukkan nama Floor88. "Ini bukan pertama kali terjadi malah kami sudah terlepas beberapa tawaran persembahan disebabkan angkara individu tersebut," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Ayie berkata, Floor88 dan pihak pengurusan belum terfikir untuk mengambil tindakan serius terhadap pihak tersebut buat masa ini. Bagaimanapun, Ayie menegaskan agar tiada lagi mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan peribadi dengan mengambil kesempatan menggunakan nama Floor88. "Memang saya terkejut apabila mengetahui harga diminta kerana nilainya dua kali ganda berbanding caj sebenar. Kalau betul kami dapat tawaran sebegitu ia seperti durian runtuh. "Buat masa sekarang kami belum terfikir untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang atau laporan polis. "Tetapi jika ia berlarutan dan semakin serius barulah kami akan nilai balik tindakan selanjutnya," jelasnya. Bimbang berlaku salah faham di masa akan datang, Ayie memaklumkan semua urusan persembahan selepas ini boleh dilakukan terus menerusi pihak pengurusan atau pun menghantar mesej di Instagram rasmi Floor88. "Kalau ada sebarang pertanyaan tentang Floor88, teruslah berhubung dengan pihak pengurusan atau boleh DM kami di media sosial. "Kami tidak mahu lagi timbul salah faham di masa akan datang kerana takut nanti ia menjejaskan periuk nasi kami," ujarnya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT