Andi Bernadee mengorak setapak dalam karier nyanyian apabila merakamkan lagu ciptaan komposer terkenal Amerika Syarikat menerusi single terbaharunya berjudul Aku Di Sini.
Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile, 31, berkata, lagu tersebut mendapat sentuhan komposer Robert Gerongco, Andrew Peterson Briol, Mas Dewangga, Jove Devito yang turut pernah menghasilkan beberapa lagu untuk penyanyi di Amerika termasuk Bella Poarch. Lebih membanggakan, Andi turut menyumbang dalam penghasilan lagu berkenaan dengan menulis lirik. "Mungkin ini rezeki saya dapat peluang menyanyikan lagu ciptaan komposer terkenal dari Amerika. Pihak Warner Music bertanggungjawab mendapatkan lagu ini dan apabila saya dengar, saya sukakan melodinya.
"Jadi kami duduk berbincang dan menulis liriknya," kata Andi menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Warner Music Malaysia. Dalam pada itu, Andi berkata, kemunculan single terbaharunya itu sebagai pengubat kepada lagu terdahulunya iaitu DU yang sambutannya tidak sehebat berbanding beberapa lagu sebelum ini seperti Satu Peluang dan Donde. Sinonim dengan genre reggaeton, Andi berkata, kali ini dia tampil dengan kelainan dengan membawa rentak pop balada yang disifatkan sebagai santai sebagai kelainan kepada peminat. "Kali ini saya menyanyikan lagu berentak pop perlahan yang santai serta ‘lite and easy’, manakala instrumen yang digunakan hanyalah gitar. “Lagu ini mengisahkan mengenai penyesalan seseorang atas apa yang sudah dilakukan kepada bekas kekasihnya dan berharap agar kekasihnya itu terbuka hati untuk kembali ke pangkuannya,” jelasnya.
|
ADVERTISEMENT