Satu pertunjukan udara membabitkan pesawat Red Arrows milik Tentera Udara Diraja (RAF) Britain terpaksa dihentikan selepas cermin kokpit sebuah jet bernilai 5 juta pound (RM26.2 juta) pecah dirempuh seekor burung.
Lapor Daily Mail, pesawat Red 6 terpaksa keluar daripada formasi semasa Pertunjukan Udara Rhyl 2022 di Wales Utara apabila kaca kokpit jet itu pecah akibat rempuhan itu. Ribuan orang yang menghadiri pertunjukan udara itu menyaksikan kejadian tersebut. Malah, beberapa saksi memberitahu terdengar bunyi kuat sebelum pesawat itu terpaksa melencong dari laluan asalnya.
Juruterbang Gregor Ogston sempat memberikan isyarat `kod transponder squawk 7700 kecemasan’ untuk menunjukkannya menghadapi masalah semasa pertunjukan itu. Rakan sepasukan Red 6 kemudian meneruskan perjalanan melintasi bandar tepi laut sehingga mendapat kebenaran untuk kembali semula ke lapangan terbang Hawarden. Orang ramai dimaklumkan bahawa Red 6 menjadi mangsa `serangan burung’ yang mana haiwan itu bertembung dengan pesawat di ruang udara. Ia mengenai bahagian kaca kokpit jet hanya beberapa inci dari juruterbang yang mengendali pesawat berkenaan. Sementara itu, jurucakap RAF Red Arrows berkata, insiden seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam penerbangan malah pasukannya terlatih untuk menangani situasi demikian. “Dalam keadaan ini, Red 6 dan seluruh pasukan secara bersama-sama bertindak balas dengan sempurna tanpa sebarang risiko lagi kepada juruterbang dan pesawat,” jelasnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT