Perkongsian yang bertujuan menarik perhatian pelancong untuk berkunjung ke salah satu lokasi menarik akhirnya dijadikan bahan jenaka.
Mana tidaknya, terdapat kesilapan informasi pada foto lokasi pelancongan dunia, Gardens by the Bay di Singapura yang dikongsikan menerusi Facebook National Geographic UK (United Kingdom). Foto yang dirakamkan oleh Lucas Foglia itu menunjukkan keindahan dan kehijauan Gardens by The Bay, namun ia tular disebabkan terdapat kesilapan pada kapsyen gambar. Foto Gardens by The Bay di Singapura, yang dikongsikan oleh National Geographic UK. sumber FB National Geographic UK
Menurut kapsyen foto tersebut, ia menyebut bahawa Singapura terletak di Malaysia, sedangkan kedua-duanya merupakan dua negara yang berjiran. "From the Archive: A family from India walks through the Gardens by the Bay in Singapore, Malaysia. (Dari Arkib: Sebuah keluarga dari India berjalan di Gardens by the Bay di Singapura, Malaysia," menurut keterangan foto yang dimuat naik di Facebook rasminya pada pukul 2 petang Sabtu waktu Malaysia (7 pagi Sabtu waktu UK). Mengikut sejarah, Singapura merupakan sebahagian daripada Tanah Melayu (kini Malaysia). Bagaimanapun, Singapura terpisah dan keluar dari Malaysia pada 1965. Susulan kesilapan itu, rata-rata netizen secara sinis berkongsi foto lokasi yang menjadi tumpuan pelancong di negara ini dan beberapa negara dunia tetapi tetap mengaitkannya dengan Malaysia. Salah satu daripadanya, foto yang memaparkan dua pemuda berlatarkan Menara Eiffel di Paris, Perancis, tetapi kapsyen tersebut menyebut 'Menara Eiffel, Malaysia'. Foto patung Singa di pusat beli-belah di Sunway Pyramid, Petaling Jaya pula dikatakan sebagai 'The Lion Pyramid' (Piramid Singa) di Mesir. Jambatan 'Tower Bridge' di London, United Kingdom pula disebut sebagai Jambatan Pulau Pinang, Malaysia. Tidak cukup dengan itu, Stadium Shah Alam di Selangor dilabelkan netizen sebagai Stadium Old Trafford, Malaysia, England, yang mana Old Trafford merupakan kubu Manchester United di Manchester. Malah, foto yang menunjukkan Menara Merdeka 118 yang kini dalam pembinaan dikatakan sebagai Menara Burj Khalifa di Dubai. Sementara itu, seorang netizen turut berkata secara sinis dengan mengucapkan selamat datang buat Singapura ke Malaysia. "Welcome back to Malaysia, Singapore. (Singapura, selamat kembali ke Malaysia)," katanya. "Jika anda tak boleh bezakan antara Malaysia dan Singapura. Makan nasi lemak! #TerbaikdiMalaysia," komen yang lain. Foto Gardens by The Bay yang dikongsikan di Facebook National Geographic UK itu dikongsi lebih 17,000 kali. Kesilapan pada kapsyen berkenaan bagaimanapun masih belum diperbetulkan selepas lebih 24 jam foto itu dimuat naik. Dalam pada itu, Tourism Malaysia yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Facebook rasminya tampil memperbetulkan kesilapan tersebut. "Itu Singapura, ini Malaysia," tulis Tourism Malaysia di ruangan komen dengan berkongsi foto yang memaparkan Pintasan Saloma dengan latar belakang Menara Kembar PETRONAS yang terletak di Kuala Lumpur. Menjadi ikon pelancongan Singapura, Gardens by The Bay merupakan sebuah taman moden berkeluasan 101 hektar yang menempatkan lebih sejuta tanaman, terletak berhampiran Marina Reservoir dan Marina Bay Sands di negara Republik itu. -CARI Sumber: mStar Online
|
mojarean_X replied at 28-8-2022 05:47 PM
Iols rasa NatGeo sdg meramalkan masa depan Singapore
CiliPadiSedap replied at 28-8-2022 06:47 PM
atau sebaliknya. kadang2 illuminati dah buat ramalan awal.
mojarean_X replied at 28-8-2022 07:08 PM
Iols rasa tu mmg ramalan atau pun rancangan. Mereka x kan simply wat mistake.
ADVERTISEMENT