Di sebalik suasana gamat sepanjang proses penggambaran, Zizan Razak mendedahkan filem Abang Long Fadil 3 mempunyai cabarannya tersendiri.
Katanya, barisan pelakon berusaha sebaik mungkin untuk memberikan mutu lakonan sempurna sesuai dengan apa yang diinginkan pengarah sehingga terpaksa pulang pada awal pagi. Disebabkan terlampau penat dan mengantuk, Zizan memaklumkan dia dan pengurus terlibat dalam satu kemalangan sewaktu memandu pulang. “Saya tak tahu nak kata stres atau tidak, tapi ada perkara yang harus saya korbankan. Kita jalani panggambaran di dalam studio dan tak perasan pun rupanya dah pagi.
“Ditambah pula ketika itu kita sedang berpuasa. Kita shoot di gudang Skop Production di Setapak dan saya kena berulang alik ke Shah Alam. “Kadang-kadang mata pun dah kecil dan tak larat nak buka. Tapi kami masih memandu pulang. Masa penggambaran itu, kereta saya dan pengurus terlibat dalam kemalangan. Itu antara cabaran luar yang saya hadapi. “Antara cabaran lain pula adalah untuk menjaga konti (keseragaman) dan babak-babak berlawan,” katanya kepada MH. Zizan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan gala filem Abang Long Fadil 3 yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ketika ditanya bagaimanakah rasanya menjadi seorang pelakon ‘A-list’ yang filemnya ‘back to back’ ditayangkan di pawagam, bintang kelahiran program Raja Lawak musim pertama ini mengakui ada kalanya, dia juga berasa agak penat. “Kita kena tengok suasana di set juga. Bila ada kawan-kawan yang best, suasana tu akan jadi seronok. Kadang-kadang bila dah terlampau ‘exhausted’, memang saya akan rasa penat sangat. “Sebab itu masa pertama kali saya menonton trailer filem ini, saya menitiskan air mata. Saya teringat balik betapa susahnya nak menjayakan sesebuah babak serta nak buat penonton ketawa dan enjoy menonton filem ini. “Ditambah pula dengan fasa pandemik yang bertahun-tahun, akhirnya hari ini baru dapat ditayangkan. Saya terharu menonton trailer bukan sahaja disebabkan filem itu sendiri tetapi mengenai usaha keras disebalik pembikinan karya ini. “Macam-macam perkara saya ingat seperti balik lewat, kereta kemalangan dan ada juga beberapa pergaduhan. Tapi bila saya tonton malam ini, MasyaAllah hasilnya sangat international dan saya puas hati,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, pemenang Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular BH 2017 itu berharap agar masyarakat dapat menghargai segala usaha keras pihak yang terlibat sepanjang menjayakan filem yang menelan belanja keseluruhan bernilai hampir RM 6 juta ini. “Saya nak penonton bukan sahaja terhibur tetapi hargai jugalah kerja-kerja anak seni ini. Bukan saya sahaja tapi juga rakan-rakan lain termasuklah mereka yang disebalik tabir seperti kru, orang buat air, producer dan semua yang terlibat. “Tak dilupakan juga buat para wartawan. Kalau tiada anda, siapa nak war-warkan mengenai filem ini,” akhirinya. Terdahulu, filem sarat aksi dan komedi ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 8 September ini. Selain Zizan, filem ini juga turut dibintangi ramai pelakon-pelakon hebat tempatan antaranya, Johan Raja Lawak, Ozlynn Wati, Maya Karin, Elizabeth Tan dan ramai lagi. Sumber: Media Hiburan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|