Kerajaan negeri Kelantan akan memberi insentif kepada atlet negeri yang berjaya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 Kuala Lumpur berlangsung pada 16 hingga 24 Sept ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata tawaran berkenaan dibuat kepada 400 atlet negeri yang akan bertanding di temasya itu. "Kita akan beri wang tunai kepada mana-mana atlet memenangi emas pada acara yang dipertandingkan. Jumlahnya akan diperincikan kemudian. "Kita menyediakan peruntukan khas untuk insentif ini bagi meningkatkan semangat atlet untuk bersaing dan mengharumkan nama negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam. Sementara itu, Wan Roslan berkata pihaknya menyasarkan 500,000 warga Kelantan akan hadir sepanjang lima hari sambutan hari belia yang diadakan bermula Jumaat hingga 30 Ogos ini. "Kita sediakan lebih 40 acara sepanjang karnival ini dan menjemput lebih 50 syarikat swasta untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada belia negeri ini yang mencari pekerjaan. "Karnival ini bertujuan mendekati golongan belia di peringkat akar umbi supaya kita dapat dengar suara mereka. Kita mahu hapuskan jurang antara pemimpin setempat dengan golongan belia yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara," katanya. Sumber: BERNAMA |
ADVERTISEMENT