Sharifah Rose, semakin lali dengan kecaman malah mengaku bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.
Justeru, dia memilih memudahkan urusan di set penggambaran berbanding memikirkan kritikan netizen terhadapnya. "Kita tidak boleh paksa orang sukakan kita. Kalau orang suka, mereka akan suka. Jadi, soal diterima atau tidak, itu perkara lain. Apa yang penting, saya sudah meletakkan segala usaha untuk memperbaiki mutu lakonan. "Lagipun, saya lebih mementingkan kepuasan sendiri dan mereka yang berada di sekeliling. Bagi saya, jika mereka senang bekerja dengan saya, itu lebih penting dan memberikan kepuasan," katanya.
Tambah Sharifah Rose, dia tidak boleh menipu dirinya apabila pernah 'koyak' kerana aksinya dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard dikritik hebat tahun lalu. Bagaimanapun segala kekecewaan itu dapat diatasi apabila drama terbabit disambung untuk musim kedua. Berita gembira itu secara tidak langsung memberi satu kelegaan dan senyuman kepada dirinya untuk melangkah lebih serius dalam dunia lakonan.
"Kecaman paling hebat yang saya terima tentunya ketika menerajui watak utama dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard. Pelbagai kecaman diterima hingga saya hampir putus asa. "Namun, kritikan itu menjadi pembakar semangat untuk saya berubah dan buktikan kepada orang ramai bakat lakonan saya. Sejak itu, setiap kali terima tawaran sesuatu watak, saya akan bersungguh-sungguh. "Saya akan kaji terlebih dahulu watak dan tidak sekadar melontar dialog. Bagi saya, adalah sesiapa pun kali pertama pasti ada kekurangan, setiap orang buat silap. Jadi, apa salahnya berikan kata-kata semangat," katanya.
Menyentuh mengenai kisah peribadi, Sharifah Rose enggan 'menjual' kisah cintanya kepada peminat, sebaliknya akan berkongsi apabila sudah pasti melangkah ke jenjang pelamin. "Bagi saya, lebih baik hubungan istimewa disimpan kerana jika terlalu kerap berkongsi, bimbang mengundang 'cakap-cakap' orang luar. "Lagipun sebagai 'public figure', segala tindak tanduk kita sering jadi perhatian. Bukan semua orang suka kita dan netizen ada sahaja perkara ingin diperkatakan. "Jadi, saya pilih berkongsi apabila yakin orang itu adalah jodoh saya dan apabila tiba masanya naik pelamin," katanya yang kini membintangi drama terbaharu, Ku Punya Hati siaran TV3.
Memegang watak sebagai Rashidah dalam drama Ku Punya Hati, Sharifah Rose buat pertama kali digandingkan dengan bintang muda, Nabil Aqil. Kata Sharifah Rose, drama terbabit menggandingkan dirinya dengan aktor sebaya buat kali pertama. Disebabkan itu, wanita berusia 23 tahun itu mengaku mudah mencipta keserasian dengan Nabil yang melakonkan watak Noah. Bagaimanapun Sharifah Rose tidak menafikan drama terbabit memberi satu cabaran baharu kepada dirinya.
"Saya bukanlah orang yang kasar, jadi bila terpaksa berlakon menjadi kasar, ia sedikit mencabar buat saya. "Tambahan pula, saya tidak ada banyak masa untuk membuat persiapan. Saya hanya ada empat hari untuk bersedia sebelum masuk ke set penggambaran Ku Punya Hati. "Tetapi saya gunakan kesempatan berada di set penggambaran untuk berlatih dan banyak mendapatkan bantuan pengarah. Babak saya tidak boleh lupa apabila terpaksa melakukan adegan berlawan hingga saya cedera dan penggambaran terpaksa ditangguhkan beberapa hari.
"Dalam insiden itu, mata saya bengkak dan lebam akibat terhantuk," katanya. Drama 28 episod arahan Azmi Hatta itu menemui penonton di slot Akasia TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|