Atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menerima lebih daripada 10 tawaran melanjutkan pengajian di universiti di Amerika Syarikat (AS) setakat ini.
Atlet kelahiran Perak berusia 18 tahun itu berkata beliau menerima tawaran itu sejurus selepas tamat beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia baru-baru ini. Beliau berkata antara tawaran yang diterimanya adalah daripada Universiti Georgia, Universiti Florida, Universiti Louisiana State dan Universiti Texas A&M selain turut menerima tawaran untuk mengembangkan kerjayanya dalam sukan olahraga daripada Universiti Houston serta Universiti Auburn. "Saya sedang mengadakan perbincangan dan mendengar terlebih dahulu kesemua tawaran (pengajian) daripada universiti terbabit yang mana akhirnya saya, keluarga, jurulatih (Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah) serta Majlis Sukan Negara (MSN) akan membuat pilihan tepat. "Ini bukan satu perkara yang main-main, ini untuk masa depan saya kerana sampai satu tahap saya akan berhenti dan tidak akan berlari untuk seumur hidup, jadi dengan segulung ijazah itu nanti akan menentukan kerja tetap saya selain daripada dunia sukan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menerima Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Negeri Perak sebanyak RM1,600 yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. Dalam pada itu, Muhammad Azeem berkata beliau turut menerima tawaran daripada beberapa ejen dari AS dan Eropah untuk menjadikannya sebagai atlet profesional namun tawaran itu ditolak kerana berpegang kepada prinsip mahu mencapai kejayaan terlebih dahulu dalam bidang akademik.
|
ADVERTISEMENT