Syafiq Kyle, 30, percaya dia mampu terus kekal relevan sebagai pelakon dalam tempoh yang lama dengan memberi fokus pada setiap hasil kerja seninya agar sentiasa terbaik untuk orang sekeliling.
Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, kemunculan pelakon baharu yang begitu ramai dan bersilih ganti dalam industri hiburan adalah perkara biasa kerana dia pun pernah berada di kedudukan itu. "Saya okey saja dengan kehadiran ramai pelakon baharu dalam industri kerana boleh bersaing secara sihat. Lagi pula, saya dulu pun pernah bergelar pelakon baharu seperti mereka. Pada saya, buat mereka seperti kawan dan sedia berkongsi ilmu.
"Saya memang tidak ada strategi tertentu untuk terus kekal relevan dalam industri. Sejak dari awal dulu lagi, tak pernah ada strategi pun. Tapi, saya yakin hanya perlu fokus dan buat yang terbaik dalam hasil kerja kita untuk orang di sekeliling," katanya kepada Harian Metro. Terdahulu, Syafiq ditemui pada sidang media secara virtual drama Cinta Buat Dara lakonannya bersama Riena Diana dan Sean Lee yang disiarkan slot Lestary TV3 mulai 24 Ogos ini, jam 9 malam dari Rabu hingga Sabtu.
|
ADVERTISEMENT