BOYOLALI: Seorang remaja berusia 16 tahun sanggup menghabiskan masa selama dua bulan tidur di sebelah kubur bapanya dengan alasan supaya dia lebih dekat dengan arwah.
Lapor Kompas.com, kisah menyayat hati itu diceritakan oleh pengawal di Boyolali, Jawa Tengah mengenai remaja lelaki yang dikenali sebagai BW. Ketua Seksyen Penguatkuasaan Boyolali, Tri Joko Mulyono berkata, pada mulanya dia tidak mempercayai cerita mengenai anak yatim tersebut. Katanya, beliau bersama pegawainya membuat pemeriksaan di kubur yang terletak di sempadan Boyolali dan Sukoharjo.
“Namun, semasa tiba di lokasi itu, kami terkejut melihat barang peribadi milik remaja itu. “Kami sangat sedih melihat tempat yang dijadikan sebagai kawasan tidur di sebelah kubur oleh remaja itu,” katanya. Susulan itu, Tri meminta remaja itu memindahkan barang peribadinya dan tidak tinggal di kubur lagi. Katanya, remaja itu akan ditempatkan di rumah singgah di Boyolali. Tri turut memberitahu BW sudah berhenti belajar sejak zaman sekolah rendah lagi. Jelasnya, BW terpaksa bekerja sebagai buruh pembinaan bagi menampung keperluan hidup. “Dia juga pernah bekerja di tempat mencuci kenderaan dan menyanyi di kawasan jalan selepas tidak mempunyai sebarang pekerjaan lagi. “Difahamkan, dia juga mempunyai adik beradik lain seramai lima orang dan dia merupakan anak bongsu. Namun, katanya, dia tidak pernah berkomunikasi antara satu sama lain,” jelasnya. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT