“Mesti orang pelik, kenapa saya masih single sampai sekarang.” Itu pengakuan jujur pelakon jelita, Tania Hudson yang dilihat jauh panggang dari api, ‘berbeza’ rezeki jodoh berbanding kakaknya, Natasha Liana Hudson yang sudah pun berkahwin buat kali kelima baru-baru ini.
“Saya masih single macam lagu yang menjadi trending dalam TikTok, Maybe My Soulmate Died (ketawa). “Memang tiada sesiapa sekarang. Saya rasa masih belum dipertemukan dengan lelaki yang betul-betul sesuai dan ada minat sama dengan saya,” kata Tania mengulas soal hatinya kepada Kosmo! Online.
Ditebak, sama ada lelaki takut untuk mendekatinya, Tania atau nama sebenarnya, Tania Nadira Hudson tidak pasti tentang persoalan tersebut namun tetap yakin dengan aturan Tuhan.
“Tak tahulah. Mungkin belum lagi (jodoh sampai). Saya percaya Allah tahu masa yang paling tepat untuk saya berkahwin. “Tahun ini 37 tahun. Soal jodoh, saya memang sangat berhati-hati sebab perkahwinan adalah sesuatu yang serius. Tanggungjawab dan semua itu perlu hadir sama dalam hubungan suami isteri.” Dalam pada itu, Tania ketika ditanya tentang sama kakaknya, Natasha ada memberikan tip atau saranan kepadanya tentang menamatkan zaman solo, dia berkata, semua orang di dunia mempunyai jalan hidup masing-masing.
“Tasha pun sedang belajar. Begitu juga semua orang. Pengalaman mematangkan kita semua. Jadi, kalau nak cakap tentang tip, tiadalah. “Saya rasa dia (Natasha) pun tahu saya pandai jaga dan bawa diri apa semua. Bagi saya, kadang-kadang, orang nasihat pun, kita sendiri yang mendepani kehidupan sendiri. “Dahulu saya tak kisah sangat pasal jodoh. Bila nak masuk usia 40-an, ada juga terdetik (bila nak sampai jodoh). Tapi, saya masih berpegang dengan prinsip bahawa Allah lebih tahu segala-galanya.
“Allah tahu tapi kita sendiri kena usahalah. Jodoh bukan sesuatu yang datang begitu sahaja. Tapi entahlah, sebab Covid-19 lebih dua tahun, susah nak letakkan usaha bab jodoh sampai saya sekarang nak masuk ‘4 series’ dah,” katanya berseloroh. Melihat ada segelintir wanita bertemu jodoh secara atas talian, Tania mengakui tidak berani memperjudikan urusan sepenting jodoh dalam platform tersebut.
“Saya tak beranilah benda-benda macam itu semua. Saya tak suka dan saya taklah sampai terdesak ke arah itu. Macam saya cakap, Allah tahu bila jodoh saya akan sampai,” tuturnya. Terbaharu, Tania bakal muncul dengan filem Abang Long Fadil 3 yang akan memulakan tayangan bermula 8 September depan. Diarahkan Syafiq Yusof, filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw tersebut dibintangi pelakon hebat seperti Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|