Kuala Lumpur: Seorang ibu buntu apabila masalah kesihatan anak perempuannya masih berlarutan walaupun sudah menjalani rawatan di beberapa hospital sejak hujung bulan lalu.
Ibu kanak-kanak itu, Zainon Taslem, 46, berkata, anaknya, Raiezza Umaira Ruzaidi, 8, mula menunjukkan simptom demam termasuk muntah pada awal bulan lalu. "Saya terpaksa berulang-alik membawa anak empat kali dalam tempoh dua minggu ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan. "Saya dimaklumkan oleh doktor anak hanya mengalami sakit perut dan diberikan pelbagai jenis ubat berkaitan, namun dia masih dalam kesakitan," katanya ketika dihubungi, hari ini. Zainon berkata, dia kemudian menghantar anaknya ke Hospital Selayang pada 22 Julai lalu dan dimasukkan ke wad selama empat hari untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut. "Pemeriksaan dilakukan pihak hospital mendapati tiada apa-apa masalah kesihatan dikesan pada badan anak sebelum dibenarkan pulang pada 24 Julai lalu selepas keadaannya sedikit pulih. "Bagaimanapun, dia dimasukkan semula ke hospital sama selepas muntah berserta darah sebelum dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini untuk rawatan lanjut. "Sejak 28 Julai lalu hingga hari ini, anak masih menerima rawatan di HTA, namun doktor belum dapat memastikan penyakit sebenar dihidapi oleh anak," katanya yang juga penjawat awam. Menurutnya, dia sudah mencuba pelbagai cara bagi mengubati masalah kesihatan dialami anak bongsu daripada tiga beradik itu termasuk perubatan tradisional. "Namun sehingga kini, anak belum pulih dan masih lagi muntah. Atas saranan beberapa pihak, saya bersedia untuk turut menggunakan kaedah perubatan tradisional untuk mengubatinya. "Jika mana-mana individu sudi membantu, boleh menghubungi saya di talian 012-2360590," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT