Penyanyi terkenal Taylor Swift dinamakan sebagai penyumbang terbesar pencemaran karbon dioksida (CO2) dalam kalangan selebriti pada tahun ini.
Penarafan itu dibuat menerusi satu kajian baharu yang mendapati jet peribadi milik Swift sudah melakukan sebanyak 170 penerbangan sejak Januari lalu. Kajian oleh firma pemasaran digital, Britain Yard adalah berdasarkan analisis penerbangan pesawat peribadi yang dikesan oleh penjejak penerbangan automatik Celebrity Jets. Lapor Daily Mail, kajian itu mendapati jet peribadi Swift mencatatkan pelepasan CO2 paling banyak dalam tempoh berkenaan.
Dalam senarai itu, Swift menewaskan legenda tinju, Floyd Mayweather dengan menduduki tempat teratas. Selain itu, artis lain seperti penyanyi Jay Z, Blake Shelton, pengarah Steven Spielberg, Kim Kardashian, Mark Wahlberg dan Oprah Winfrey turut berada dalam senarai 10 penyumbang terbesar CO2 dalam kalangan selebriti. Sementara itu, jurucakap Swift menafikan laporan tersebut selepas dikecam para peminat dengan mendakwa penyanyi itu sering membenarkan orang lain membawa jet Falcon 7X miliknya untuk melancong di seluruh dunia. “Jet peribadi Swift dipinjamkan secara berkala kepada individu lain,” katanya kepada Rolling Stone. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT