Athens: Seorang lelaki Britain maut akibat terkena bilah kipas helikopter di Greece dan polis sedang menyiasat sama ada dia cuba merakam gambar pada telefonnya pada masa kejadian.
Juruterbang pesawat Bell 407 hitam, yang dikatakan sangat trauma dengan kejadian itu, sudah memberikan keterangan kepada pendakwa raya. Juruterbang itu bersama dua lagi kakitangan mungkin berdepan tuduhan melakukan kecuaian, lapor The Sun. Polis Greece berkata, pihaknya tidak menolak sebarang senario ketika mereka menyiasat kejadian itu. "Kami sedang meneliti setiap kemungkinan, termasuk adakah lelaki itu pergi ke sana untuk mengambil swafoto," kata sumber polis. Ketika kejadian, Jack Fenton, 22, baru tiba dari Mykonos bersama tiga rakan dengan menaiki helikopter yang disewa. Dia keluar dari helikopter itu dan terkena bilah kipas selepas pesawat itu mendarat di helipad Superior Air di Spata, jam 6.20 petang waktu tempatan. Rakan-rakan Fenton dan juruterbang itu melihat dalam ketakutan selepas menyaksikan bilah kipas menyebabkannya mangsa maut serta-merta. Rakannya, Jack Stanton-Gleaves, yang berada di dalam helikopter sama mendakwa, tiada arahan diberikan ketika mereka keluar dari helikopter itu menyebabkan Fenton pergi ke arah belakang. Dia mendakwa kemalangan berlaku sebelum mereka tiba di ruang menunggu. "Saya dengar ada orang mendakwa Fenton menggunakan telefon bimbit dan berlari ke arah belakang helikopter, semua ini tidak benar," katanya. Pihak berkuasa Greece mendakwa tiga lelaki itu dibawa keluar dari helikopter berkenaan, tetapi Fenton ketika itu yang sedang menggunakan telefon dikatakan berpatah balik ke arah pesawat. Presiden Jawatankuasa Greece untuk kemalangan penerbangan, Ioannis Kandyllis yang sedang menyiasat tragedi itu, berkata Fenton kembali ke arah pesawat itu "dengan pantas". "Keempat-empat penumpang sudah turun dan diiringi ke ruang menunggu penerbangan peribadi ke London. Tetapi ketika mereka berada di ruang istirahat, (Fenton) melarikan diri dan kembali ke landasan, bergegas ke helikopter dengan pantas," katanya. Kes itu kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Greece. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT