Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian anak perempuannya yang berusia 11 tahun pada 14 Julai lalu.
Tertuduh, Sembakavali, 34, yang tiba kira-kira pukul 8.30 pagi di pekarangan mahkamah dengan memakai baju T berwarna merah dan seluar hitam bercorak bunga diiringi seorang anggota polis wanita dilihat seperti mencari sesuatu. Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Nurasidah A. Rahman, tertuduh mengangguk faham, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan. Berdasar kertas pertuduhan, Sembakavali didakwa menyebabkan kematian N. Maha Letchumi di rumah Nombor 21, Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika Yong Peng pada pukul 4.55 petang, 14 Julai 2022.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Izzati Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Nurasidah kemudian menetapkan 13 September depan bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia. Pada 14 Julai, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemukan mati di sebuah rumah di Yong Peng dan hasil siasatan mendapati terdapat kesan luka pada bahagian dahi serta jerutan pada leher mangsa. Susulan itu, ibu mangsa berusia 34 tahun ditahan untuk membantu siasatan kerana keterangan diberikan tidak konsisten berbanding keterangan daripada saksi-saksi yang lain. Sumber: UTUSAN |
ADVERTISEMENT