Harian Metro melaporkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berada dalam keadaan parah akibat dipukul dan dipijak dua penghuni lain di sebuah pusat jagaan mental di Sungai Petani, Kedah.
Mangsa OKU mental berusia 49 tahun itu masih tidak sedarkan diri dan kini bertarung nyawa di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius dengan kesan lebam dari bawah pinggang hingga betis dan kaki kanannya patah.
Gambar hiasan
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati dua penghuni terhadap mangsa yang memijak mereka ketika sedang tidur di lantai bilik.
"Pakar yang merawat mangsa memaklumkan dia kini dalam keadaan kritikal dan hanya bergantung kepada ubat dan alat bantuan pernafasan.
"Selain itu, mangsa turut disyaki mengalami kecederaan dalaman yang serius di perutnya dan kini dipantau pakar.
"Siasatan mendapati hampir 60 peratus pesakit mental termasuk mangsa di pusat jagaan itu ada kalanya bertindak agresif selain suka mengganggu penghuni lain.
Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan kes disiasat mengikut seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.
Penghuni yang memijak mangsa berusia 33 tahun tinggal di pusat jagaan itu sejak Mac lalu manakala seorang lagi berusia 21 tahun menginap di situ sejak Oktober tahun lalu.
Mangsa adalah anak bongsu daripada tiga adik beradik mengalami masalah mental sejak terbabit dalam kemalangan kira-kira 20 tahun lalu dan sudah menginap di pusat jagaan itu lebih 10 tahun lalu. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My