Pelakon, Aidit Noh yang namanya kini menjadi sebutan dalam kalangan peminat siri Dendam Seorang Isteri (DSI) pernah merasakan dirinya dipinggirkan dan hanya diberikan watak tambahan selain ada yang menyangka dia sudah meninggalkan dunia lakonan.
Menerusi laporan mStar, Aidit atau nama sebenarnya Ahmad Aidit Noh, 29, berkata, apa yang lebih mengecewakan apabila menerima tawaran bayaran diberikan setara dengan pelakon tambahan yang disifatkan tidak setimpal dengan tanggung jawab yang perlu dilunaskan.
"Sebelum ini saya memang berehat seketika kerana ingin memberikan tumpuan kepada pelajaran dan disebabkan itu saya jarang muncuk di televisyen sehingga ada yang menyangka saya sudah tinggalkan dunia lakonan," katanya.
Peluang untuk melakonkan watak Naufal dalam drama 85 episod membuka jalan buatnya untuk kembali ke landasan yang betul bagi membuktikan dirinya sebagai seorang pelakon berbakat.
"Saya sedar kehadiran ramai pelakon baharu mempengaruhi kerjaya lakonan tetapi saya tidak berputus asa dan kembali bangkt. Alhamdulillah, tawaran berlakon dalam DSI telah membuka kembali jalan saya dalam industri.
"Saya susun kembali strategi dan perlahan-lahan memperbaiki diri serta tidak kisah bermula dari bawah. Syukur, menerusi DSI saya dapat perhatian peminat dan industri," katanya. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My