Bekas vokalis kumpulan Hyper Act, Ronnie Hussein mengalami cedera ringan selepas basikal ditunggang terbabit dalam satu kemalangan di Johor Bahru, jam 11.15 malam tadi.
Susulan kejadian itu, Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein, 40, mengalami kecederaan pada bahagian dahi sehingga terpaksa menerima enam jahitan. "Ketika kejadian, saya sedang menjalankan aktiviti riadah dengan menunggang basikal bersama dua rakan. "Secara tiba-tiba, pemegang basikal berpusing hingga mengakibatkan saya terjatuh dan bahagian pipi tercalar kerana tersagat atas jalan raya.
"Saya juga mengalami kecederaan pada bahagian lengan, manakala dahi terpaksa menerima enam jahitan berikutan luka yang agak dalam," katanya kepada BH Online.
Berkongsi insiden mencemaskan itu, Ronnie memaklumkan, kejadian berlaku tanpa diduga. "Saya tak pasti bagaimana keadaan boleh berlaku. Nak kata hilang kawalan, tak juga. Keadaan jalan raya masa itu sangat lengang, permukaan licin dan tiada lubang. "Benda nak jadikan, saya reda sahaja. Mujur rakan sedar saya terjatuh dan segera memapah saya ke tepi jalan raya," ujarnya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Menanti Janji dan Dikoyak Waktu itu meluahkan rasa syukur kerana tiada kecederaan serius yang berlaku. "Doktor ada bertanya jika ada rasa sakit pada mana-mana bahagian. Bimbang juga jika tulang patah dan sebagainya. "Alhamdulillah, setakat ini, keadaan saya baik-baik sahaja. Doktor nasihatkan agar berehat. "Cuma, apa yang dirisaukan keadaan muka saya yang luka ini. "Ini kerana saya ada undangan persembahan di Pahang, hujung minggu ini. Saya harap bengkak pada wajah menyusut sebelum hujung minggu," ujar penyanyi bervokal mantap ini.
Berita kemalangan itu turut dikongsi Ronnie menerusi akaun Instagram (IG). Turut dimuat naik, foto keadaannya selepas kemalangan berlaku. Perkongsiannya itu turut mendapat simpati rakan artis dan peminat. Rata-rata mendoakan semoga Ronnie cepat sembuh. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|