Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menghadapi margin keuntungan lebih rendah walaupun ekonomi meningkat kerana terpaksa menolak pesanan besar berikutan masalah buruh yang berterusan.
Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) Ding Hong Sing menjelaskan selain kos pengeluaran yang semakin meningkat berikutan harga bahan mentah yang lebih mahal dan isu rantaian bekalan dan logistik, syarikat PKS juga bergelut dengan kapasiti operasi yang lebih rendah. “SME Malaysia berharap pihak berkuasa berkaitan dapat memudahkan proses permohonan pekerja asing dan mempercepatkan kelulusan permohonan bagi menyokong keperluan tenaga kerja industri,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa kekurangan pekerja semasa akan menjejaskan produktiviti perniagaan dan melambatkan pemulihan perniagaan PKS, pasca pandemik Covid-19. Ding berkata demikian pada majlis pelancaran Platinum Business Awards (PBA) 2022 yang dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh bin Haji Omar di sebuah hotel terkemuka di sini. PBA2022 adalah platform anugerah premium tempatan yang menanda aras prestasi perniagaan dan piawaian kualiti PKS dan individu dalam 18 kategori anugerah mengikut pencalonan dan 4 kategori jemputan. Empat kategori baharu iaitu Anugerah Amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus PKS, Anugerah Amalan IR 4.0 PKS, Anugerah Kedayatahanan Perniagaan PKS, dan Anugerah Kecemerlangan Matlamat Pembangunan Mampan PKS telah diperkenalkan untuk menekankan peningkatan kaitan ESG, kemampanan dan Revolusi Perindustrian 4.0 kepada PKS. Calon anugerah menjalani proses penilaian yang ketat termasuk lawatan tapak juruaudit, dengan pemilihan pemenang sebagai kemuncak oleh sebuah Lembaga Pemilihan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Michael Yeoh, Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, diiringi kapten industri yang lain. PBA2022 dianjurkan SME Malaysia dan diaudit SFAI Malaysia dengan Fusionex sebagai rakan kongsi teknologi dan Skynet Worldwide sebagai kurier rasmi. Penaja utama acara ialah Hong Leong Bank, Boost Biz, Maxis dan RHB Bank manakala penaja bersama ialah Kumpulan AmLeisure, Ipay 88, SBH dan RAM. PBA2022 kini dibuka untuk pencalonan sehingga 31 Ogos 2022. Butiran boleh didapati dari https://smemalaysia.org/pba dan sekretariat anugerah di talian 03-8024 5787 (Cynthia). - CARI
|
ADVERTISEMENT