Sumber mStar
Ibu kepada dua anak lelaki, Nurirdinaashira Irdi Hamzah, 25, tabah berkongsi cerita mengenai kemalangan yang berlaku pada 2015 hingga menyebabkan dia mengalami kecacatan kekal.
Berdasarkan temu bualnya bersama mStar, kata wanita itu, dia dilahirkan secara normal, namun ketika usianya 18 tahun, dia terbabit dalam satu kemalangan gara-gara motosikal yang dinaikinya bersama teman lelaki yang kini adalah suaminya terlanggar jalan berlubang.
"Jalan dekat Desa Water Park di ibu kota masih belum rata ketika itu. Masa membonceng dengan suami dekat kawasan itu, dia terlanggar jalan berlubang.
"Kemudian secara tidak sengaja kaki saya termasuk dalam rim motosikal. Kaki saya berpusing-pusing dalam tu sampai tumit jadi terkulai.
"Lepas kejadian itu, saya dibawa ke HUKM. Doktor buat pembedahan segera. Tapi, sayangnya keesokan harinya tumit dan buku lali bertukar jadi warna hitam. Jadi, doktor ambil keputusan untuk potong terus," kata wanita itu.
Kata Shira, dia juga terpaksa ditahan di hospital selama dua bulan bagi menjalankan proses pembedahan yang dilakukan sebanyak enam kali.
Sebaik saja selesai prosedur pembedahan, pihak hospital mengesahkan dia kini adalah orang kelainan upaya (OKU) kategori cacat fizikal.
"Apabila pembedahan selesai, bila doktor tengok isi daging kaki dah jadi kemerahan, akhirnya saya dibenarkan keluar. Tapi, lepas selesai... tumit dan buku lali saya dah tak ada.
"Banyak aktiviti saya terhad lepas tu. Saya tak boleh berdiri lama sebab urat banyak putus menyebabkan kaki kanan saya lebih pendek," katanya.
Dia bersyukur dipertemukan dengan suami, Muhammad Zeekry Ahmad Roshidi, 25, yang tidak meninggalkannya walaupun mengetahui keadaan dirinya yang tidak lagi sempurna seperti sebelum ini. - CARI