Keruntuhan pentas utama di gelanggang laga lembu jantan ketika acara popular itu berlangsung pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya empat maut manakala 30 lagi parah.
"Ketika ini, empat disahkan maut, dua wanita dan masing-masing seorang lelaki dan kanak-kanak," kata Gabenor Jabatan Tolima, Jose Ricardo Orozco, memberitahu radio tempatan selepas kejadian itu berlaku di pusat bandar El Espinal. Berdasarkan imej yang disiarkan di media sosial, pentas kayu tiga tingkat yang dipenuhi dengan penonton tiba-tiba runtuh menyebabkan puluhan penonton terhempas ke tanah.
"Seramai 30 penonton parah... Ini hanya laporan awal," kata Orozco sambil menambah kakitangan kecemasan masih memindahkan mangsa yang cedera ke hospital untuk rawatan. Sementara itu, pegawai pertahanan awam tempatan, Luis Fernando Velez berkata, mereka tidak mengetahui berapa ramai yang masih tertimbus di dalam runtuhan itu, tetapi bahagian pentas itu dipenuhi penonton ketika ia runtuh. Acara itu adalah sebahagian daripada perayaan sekitar festival San Pedro iaitu yang paling popular di rantau ini. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT