ALOR SETAR: Pihak berkuasa agama diharap dapat memanggil pasangan deejay di laman sosial yang dikenali sebagai DJ Wong dan isterinya, DJ Sal berhubung kontroversi membabitkan soal penceraian mereka sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mereka mungkin jahil dengan hukum Islam selepas dikatakan kembali tinggal bersama walaupun DJ Wong atau nama sebenarnya, Noor Aziz Johari, 53, melafazkan cerai talak tiga. “Kita nak kata dia permainkan (agama) itu saya tak berani kata, mungkin kejahilan dia. Dia anggap benda itu (penceraian) mainan biasa. Mungkin kejahilan, dia anggap macam tak ada apa boleh rujuk buat macam itu sahaja. “Maka, kita harapkan pihak agama panggil dia kalau ini melibatkan soal nasab dan keturunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Kedah yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, semalam.
Pada 12 April lalu, DJ Wong yang kembali bersiaran seorang diri selepas misteri kehilangannya bersumpah di hadapan al-Quran bahawa dia dalam keadaan sihat dan selamat serta meminta semua pihak menghentikan misi pencariannya, namun, lokasi sebenar dia berada tidak dimaklumkan. Malah, DJ Wong di akhir siaran langsungnya itu melafazkan cerai talak tiga terhadap isterinya dan memberitahu pengikutnya bahawa dia tidak akan muncul di laman Facebook lagi selepas itu. Bagaimanapun, pada pertengahan Jun lalu, pasangan itu membuat kejutan apabila DJ Sal atau Ku Sabariah Ku Hambali, 47, mendakwa sudah merujuk isu yang timbul kepada ahli keluarga dan bijak pandai agama yang memaklumkan lafaz cerai itu tidak sah. Dakwa DJ Sal, dia sedang uzur ketika kejadian dan suaminya dikatakan berada dalam keadaan tidak waras sehingga memaksa dia melafazkan cerai secara siaran langsung dalam media sosial. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Idris meminta orang ramai yang bimbang perkara tidak sepatutnya berlaku kepada pasangan terbabit membuat laporan kepada pihak berkuasa agama. “Jika berlaku perkara sebegini, orang ramai boleh laporkan kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. Apabila ada laporan, kita boleh ambil tindakan kerana ada ketika pihak berkuasa tidak tahu mengenai sesuatu kes yang berlaku. Di peringkat daerah misalnya, hanya mempunyai seorang kadi sahaja, kita tidak mahu terlepas pandang dan jika kita tahu memang pihak berkuasa agama akan siasat segera,” katanya. Dalam perkembangan lain, Idris memaklumkan, kes-kes berkaitan aktiviti khurafat, ajaran yang mengelirukan, serta ‘ustaz segera’ di media sosial membabitkan rakyat Malaysia masih berada pada kadar minimum. Bagaimanapun, beliau menegaskan, kes-kes berkenaan tidak boleh dibiarkan dan dipandang sebelah mata agar pengaruhnya tidak meluas yang kelak mungkin akan menimbulkan kekeliruan dan kemusykilan dalam kalangan masyarakat di negara ini. “Kita tidak mahu unsur-unsur ajaran-ajaran yang mengelirukan masyarakat ini akan merosakkan orang lain, kita kesian terutama mereka yang nak kembali kepada agama (Islam) yang memang itu sangat bagus (tetapi), tiba-tiba mereka berguru dengan orang yang bukan sepatutnya memberikan pendidikan (agama kepada) mereka,” katanya. Sementara itu, Idris menyatakan jumlah jemaah haji Malaysia yang telah tiba di tanah suci kini sekitar 8,000 orang dan kesemua mereka berada dalam keadaan baik serta berpuas hati dengan layanan di sana, selain tidak timbul sebarang masalah dalam kalangan mereka. -CARI Sumber: Utsan Online
|
Dakwa DJ Sal, dia sedang uzur ketika kejadian dan suaminya dikatakan berada dalam keadaan tidak waras sehingga memaksa dia melafazkan cerai secara siaran langsung dalam media sosial.
afie_m replied at 27-6-2022 04:48 PM
dj mana pulak meka dua orang ni..
ADVERTISEMENT