Tiga hari dalam tahanan reman, aktor, Sharnaaz Ahmad yang dibebaskan dengan jaminan polis tengah hari tadi (20 Jun), kelihatan tenang menjawab pertanyaan-pertanyaan dilontarkan wartawan yang sudah siap menunggunya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Tidak menceritakan secara terperinci mengenai dakwaan menumbuk dan menendang seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Segambut, pelakon lelaki itu bakal mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk menjelaskan secara terperinci mengenai insiden berkenaan.
"Sekarang ini saya dah selesai dengan siasatan polis. Insya-Allah tiada apa-apa. Yang digembar-gemburkan, hati-hati sebab ia masih dalam siasatan dan apa yang dikeluarkan oleh pihak media tidak benar.
"Tunggu peguam saya dan kenyataan yang saya akan buat dalam masa terdekat. Insya-Allah, saya akan ceritakan perkara sebenar. Saya akan buat sidang media dalam masa terdekat," katanya.
Berdasarkan laporan Utusan Malaysia sebelum ini, dikatakan seorang rakan pelakon menghantar minyak masak kepada aktor berkenaan di kediamannya, namun pengawal keselamatan terbabit tidak membenarkan rakannya masuk
Kemudian, berlaku pertengkaran mulut antara rakan pelakon dan pengawal keselamatan tersebut sebelum Sharnaaz dikatakan turun ke tempat kejadian dalam keadaan marah, lalu terus menumbuk dan menendang muka, dada serta perut mangsa.
Sinonim dengan sifat panas baran, Sharnaaz bagaimanapun menjelaskan perkara itu sama sekali tidak ada kaitan dengan sikapnya itu serta menafikan tuduhan ke atasnya. Dia juga berterima kasih kerana masih ramai yang percaya aktor berkenaan tidak bersalah.
"Saya tak bodoh untuk lakukan sesuatu yang begitu. Kepada yang buat spekulasi, tunggu cerita sebenar akan keluar. Saya percaya saya tak bersalah. Saya akan buktikan pada semua ada kebaikan yang saya buat dalam ini yang orang tak tahu, yang tak diceritakan dan yang akan diceritakan di mahkamah nanti.
"Nanti saya akan ceritakan dengan terperinci bersama lawyer saya, tak boleh cerita panjang sekarang ni sebab masih dalam siasatan dan belum masuk mahkamah lagi. Insya-Allah dalam masa terdekat.
"Saya ingin bersihkan nama, nama keluarga dan nama jenama-jenama di belakang saya. Panas baran memang sinonim dengan saya tetapi tiada unsur panas baran di sini. Tiada langsung dan saya buat apa yang saya rasa perlu.
Loading FB Post...
"Saya harap jangan terus buat spekulasi dan menuduh saya penjenayah. Bukan pasal penjenayah tetapi bantuan siasatan polis," katanya yang berharap agar umum mendengar kenyataan kedua-dua belah pihak agar dapat memahami situasi sebenar. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
Saya ingin bersihkan nama .. kata nyehh. Dari zaman shilalat lagi dah pakai statement tu, dah tua bangka jadik bapak orang pun asik salahkan orang lain