Untuk pengetahuan semua, setiap ibu mengandung pasti akan melalui fasa perubahan hormon dan fizikal yang berbeza-beza. Hal yang paling ditakuti oleh ibu mengandung adalah perubahan di bahagian wajah. Walaupun perubahan itu hanya sementara namun bayangkan perasaan jika kita harus menanggung perubahan di tubuh badan kita untuk sembilan bulan. Sudah pasti ramai yang akan menegur!
Itulah yang terjadi kepada seorang pengguna Tiktok yang dikenali seabgai Una Atirah. Menurut wanita ini, wajahnya menjadi berkedut sewaktu mengandung anak pertama dan keduanya. Walaupun dia tidak pernah tahu apakah punca sebenar kedutan itu terjadi namun dia mengesyaki bahawa ia berkait rapat dengan alahan pembawakan budak.
Wanita ini juga akui bahawa sepanjang mengandung, emosinya menjadi turun naik kerana berasa malu dengan perubahan dirinya terutamanya apabila berdepan dengan individu yang toksik dan 'bermulut longkang'. Namun, wanita ini sangat bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang setia dan sudi memberi kata-kata semangat kepadanya sehingga wajahnya kembali normal setelah habis berpantang.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji suami wanita itu yang telah memberi sokongan kepada wanita itu.