Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memberitahu dia menerima panggilan telefon dari seorang perdana menteri yang meminta bekalan minyak masak.
Jika tidak, kata Jokowi, negara tersebut akan mengalami krisis ekonomi yang semakin meruncing, lapor Detiknews. Jokowi bagaimanapun tidak menyebut nama perdana menteri tersebut dan sehingga kini menimbulkan persoalan. “Dua hari lalu, saya dapat panggilan dari seorang Perdana Menteri. Tidak perlu saya sebut negara mana. Beliau merayu kepada saya supaya menghantar bekalan minyak masak, jika tidak negara akan terjebak dengan krisis ekonomi dan sosial yang boleh menyebabkan krisis politik,” katanya.
Jokowi berkata demikian ketika Mesyuarat Koordinasi Kebangsaan 2022 di Istana Merdeka, Jakarta. Beliau sebelum itu memberi peringatan tentang ketidaktentuan global akibat krisis makanan, ancaman krisis tenaga serta peningkatan inflasi yang dihadapi semua negara. Justeru, Jokowi meminta semua pihak melakukan persediaan supaya sektor tenaga mencukupi. “Kita berharap dapat mempersiapkan diri berhadapan masalah ini. Bekalan makanan mesti disediakan dengan baik dan sektor tenaga mesti dipantau rapat kerana separuh sumber tenaga kita adalah import. “Kita adalah sebuah negara besar dan tenaga memerlukan sumber yang banyak bagi kenderaan, industri, isi rumah serta keperluan lain,” katanya. Jokowi berpandangan ancaman krisis ini boleh dijadikan sebagai peluang kerana negara mempunyai tanah besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT