Penyanyi yang turut berlakon dalam drama seram Histeria The Series, Ziana Zain menceritakan kepada Getaran pengalamannya yang mengalami gangguan ketika menjayakan penggambaran di sebuah kampus lama.
Kata Ziana, kampus yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan itu sudah lama tidak beroperasi menyebabkan aura persekitaraan lokasi berkenaan yang kurang menyenangkan cukup dirasainya.
Sumber Getaran
"Sebaik saja melangkahkan kaki masuk ke pondok pengawal, saya dapat rasakan macam ada yang benda yang tak kena di tempat itu. Seolah-olah ada aura yang tak menyenangkan.
"Tapi saya ingatkan diri bahawa saya ke sini untuk bekerja. Jadi, saya bacalah ayat-ayat yang perlu," katanya kepada Getaran ketika ditemui dalam sidang media drama tersebut.
Pulang pada jam dua pagi pada hari pertama penggambaran, Ziana mengigau hingga dikejutkan oleh anaknya.
"Malam itu saya mengingau sampaikan anak saya kejut dan tanya apa yang sudah jadi. Saya cuba ingat kembali tempat yang saya pergi tadi. Kemudian saya bacalah sesuatu untuk tenangkan diri. Jadi, apabila saya pergi lagi ke tempat itu untuk penggambaran hari kedua, saya sudah bersedia.
"Adik saya yang ikut ke lokasi penggambaran juga alami mimpi ngeri," katanya yang memegang watak sebagai guru besar dalam drama tersebut.
Terus menceritakan pengalamannya ketika menjalani penggambaran, Ziana mengakui ada beberapa kawasan kaki lima yang memberikan 'vibes' tidak selesa menyebabkan dia meremang.
"Ada beberapa kaki lima yang apabila kita lalu sahaja pun bulu roma tiba-tiba tegak. Saya rasa pelakon lain pun dapat rasa sebab itulah drama ini memberi aura seram yang sangat mengesankan dan misteri," katanya.
Selain Ziana, pelakon lain seperti Liyana Jasmay turut menceritakan beberapa kru yang ada di lokasi penggambaran juga berdepan indisden seram. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My