Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel adalah antara selebriti yang gemar berkongsi pendapat menerusi akaun Twitter miliknya sama ada ia berkaitan isu semasa mahupun secara rawak apa yang dirasakannya ketika itu.
Kadang-kadang, ciapan selebriti berusia 25 tahun itu disalah ertikan oleh netizen yang beranggapan ia ditujukan kepada seseorang.
Bagaimanapun, menerusi temu bual mStar bersama Naim, ia jelaskan bahawa ciapan itu hanya sekadar perkongsian semata-mata.
Baru-baru ini, ciapan penyanyi yang popular dengan lagu Purnama itu mengenai sifat individu yang perasan bagus menyebabkan ada segelintir netizen yang berteka-teki identiti yang dimaksudkan oleh Naim.
"Ia macam berikan pesanan. Kadang-kadang, ada perasaan yang bagus dan ada yang perasan bagus. Tak salah pun ada perasaan yang bagus. Kadang-kadang kita rasa macam semua benda dah ada pada hal kena merendah diri. Tak payah nak bangga sangat.
"Ia tidak ada kaitan dengan peribadi cuma saya memang gemar berkongsi di Twitter untuk jadi peringatan diri sendiri. Kadang-kadang ciapan itu mengenai perkara yang relatable dengan diri, sekadar ciapan. Tak ada benda serius pun. Enjoy life!" katanya.
Naim menyedari, setiap ciapan yang ditulis harus disertai dengan rasa tanggungjawab kerana ia mungkin akan disalahertikan oleh segelintir pihak sedangkan apa yang ingin disampaikan itu bukanlah dari sudut negatif.
"Kita harus bertanggungjawab atas apa yang kita tulisa, apa yang kita sampaikan dan apa yang kita luahkan. Apa yang kita tulis itu harus kita fikirkan semula. Saya tahu, apa-apa yang kita tulis tak semua dapat tangkap maksud sebenar. Masing-masing ada interpretasi sendiri.
"Saya tak dapat halang tetapi selagi mana ia masih dalam kawalan, dalam ruang lingkup saya... Insya-Allah kita kongsi sesuatu yang boleh kita sama-sama renungkan. Bukan kata hentam atau salahkan mana-mana pihak. Kita pastiukan ada hubungan baik dengan semua orang," katanya.
Pernah menjadi mangsa kecaman netizen, kata Naim, dia percaya kehadiran mereka dalam hidupnya pasti ada sebabnya. Dia juga menyifatkan hadirnya individu berkenaan adalah untuk memberikan teguran dan pengajaran.
"Teguran mereka itu boleh kita lihat sebagai asas untuk kita menilai diri sendiri," katanya. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My