DUBLIN: Seorang lelaki terkejut selepas menemukan bayangan seakan-akan wajah mendiang Raja Rock & Roll, Elvis Presley pada leher kuda peliharaannya.
Lapor Daily Mail, Alan O’Reilly, 36, berkata, dia mengesan `keajaiban’ itu ketika kudanya berusia lima tahun, Piebald Cob Dolly sedang menggosok bulu pada pagar. Menurut O’Reilly, ketika itu, dia ternampak suatu bayangan menunjukkan seakan-akan imej wajah penyanyi terkenal itu. Katanya, dia menemukan bayangan itu semasa memeriksa gambar dalam telefon bimbitnya sambil bersarapan di rumahnya di Dublin, beberapa minggu lalu. “Selepas terkejut melihat bayangan itu, saya memuat naik gambar itu dalam media sosial dengan bertanya sama ada orang lain juga mengesan `wajah’ Presley pada leher kuda itu. “Ramai ahli keluarga, rakannya dan beberapa individu tidak dikenali turut mengesahkan melihat bayangan itu pada leher kuda,” katanya. Gambar itu menunjukkan bayangan seakan-akan `wajah’ Raja Rock & Roll itu yang lengkap dengan mata dan gaya rambut ala Elvis Presley pada leher Dolly yang berwarna hitam dan putih. “Ia sememangnya satu keajaiban. Elvis Presley merupakan seorang penyanyi yang hebat dan bayangan wajahnya muncul pada kuda saya. “Sebaik sahaja anda melihat gambar tersebut ia sangat jelas menunjukkan seperti wajah penyanyi legenda itu,” katanya. Elvis Presley yang meninggal dunia pada 1977, diketahui umum gemar membela kuda. Mendiang pernah memiliki banyak kuda di kediamannya di Graceland di Memphis, Tennessee. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT