MARAN: Penduduk Chenor di sini membantah tindakan sekumpulan pencari harta karun menceroboh dan menggali makam alim ulama kawasan itu, Khamis lalu.
Sekumpulan penceroboh dari luar yang menggunakan alat pengesan logam menggali beberapa makam ulama termasuk seorang ulama tersohor, Tok Minhat yang menulis sendiri naskhah al-Quran sekitar tahun 1700. Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelaras Persatuan Sejarah Chenor, Barkatullah Mohd. Bahari, 40, yang juga tenaga pengajar Pondok Pok Kob Kampung Pantai Chenor berkata, pihaknya kesal dengan sikap biadap kumpulan itu menceroboh makam ulama dari daerah ini. Katanya, perbuatan itu diketahui apabila kumpulan penceroboh terbabit memuat naik artifak yang ditemukan di makam ulama Tok Minhat di laman sosial Facebook mereka.
“Kami sangat terkejut dengan perbuatan mereka kerana lazimnya anak-anak Chenor mengadakan tahlil secara bergilir di beberapa makam di sini. “Makam-makam itu bukannya terbiar atau tidak dipulihara penduduk atau waris. Oleh itu tidak sepatutnya dan sangat biadab menggali mencari harta karun di situ,” katanya di sini semalam. Barkatullah berkata, penduduk memberi masa kepada kumpulan itu memulangkan semua artifak yang dijumpai sebelum mereka membuat laporan polis. Katanya, antara artifak yang ditemukan oleh kumpulan itu adalah syiling lama, rantai besi, alat penimbang, pahat dan cincin. Sementara itu, pengkaji sejarah Chenor, Omar Azman Mohamad, 82, mengusulkan kerajaan negeri mewartakan kawasan bersejarah seperti makam ulama sebagai kawasan larangan bagi menjaga artifak dan kesucian tempat berkenaan. “Kehadiran penceroboh menggunakan alat canggih pengesan logam tersembunyi dalam tanah telah menemukan pelbagai kepingan logam berharga termasuk duit syiling lama,” katanya. –CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT