Shahz Jaszle, 34, berjaya menurunkan berat sebanyak 16 kilogram (kg) dalam tempoh 23 hari bagi memenuhi tuntutan kerja.
Shahz berkata, berat badannya naik mendadak sehingga mencecah 86 kg ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. "Bila duduk di rumah tidak ada buat apa, memang makan-makan saja. Apatah lagi, saya penggemar makanan yang mana boleh 'travel' (berjalan) jauh semata-mata untuk makan. "Namun, setiap kali produksi hendak 'menjual' nama saya kepada stesen televisyen, pasti mereka tanya saiz tubuh ketika itu. Jadi, atas nasihat rakan-rakan saya mengamalkan diet.
"Boleh dikatakan peminat pun seperti tidak kenal jika terjumpa saya di luar kerana keadaan tubuh yang berisi. Alhamdulillah, kini saya berjaya mendapatkan berat badan ideal. Saya amalkan pengambilan makanan sebanyak 500 kalori saja sehari," katanya.
Shahz yang juga bapa kepada dua anak berkata, dia terpaksa menurunkan berat badan supaya relevan dalam bidang lakonan tanah air. Menurutnya, dia bersyukur apabila masih diberi kepercayaan penerbit. Shahz mengakui bukan mudah untuk memulakan gaya hidup sihat dan menurunkan berat badan. Malah, dia juga mengalami salah faham bersama isteri ketika awal berdiet.
"Isteri saya suka memasak dan masakannya sedap. Jadi, saya terpaksa berlawan dengan keinginan untuk makan kerana hanya makan 500 kalori saja sehari. "Kita sudah biasa makan, bila kena kawal jumlah makanan itu memang membuatkan saya cepat naik angin dan 'moody'. Namun, sekarang tidaklah sesukar dulu. Tidak dinafikan isteri pun turut tergugat sejak saya kembali kurus. Mungkin rasanya dia lebih gemar saya gemuk kerana kurang rasa tak selamat," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|