Pelawak dan penyampai radio, Johan mendedahkan dia menjadikan Tauhid (ilmu mengenal Allah) sebagai pendidikan asas yang diterapkan dalam keluarga terutama dalam membesarkan anak-anaknya.
Memetik laporan Harian Metro, pemilik nama sebenar Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 38, itu tahu tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan suami serta mendedahkan dia akan meluangkan masa bersama anak-anak dengan mengajar mereka ilmu agama.
"Anak-anak saya belajar di International School, kalau tak pun sekolah Cina. Jadi, saya bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan agama untuk mereka. Saya beri yang terbaik apa yang saya ada dan yang saya belajar.
"Saya beritahu anak-anak, saya boleh wasiatkan harta, tetapi ilmu mereka semua perlu tuntut. Nak tahu apa-apa, tanya. Belajar mengaji dengan saya dan saya akan bagi. Sebab itulah saya banyak luangkan masa dengan mereka dari segi sekolah, main dan belajar," katanya.
Jelas Johan, Tauhid adalah perkara penting dan menjadi keutamaan bagi umat Islam kerana ia adalah ilmu asas yang menjadi panduan pada seseorang yang beragama Islam untuk mengenali Pencipta.
"Kena tahu Tauhid dulu. Tauhid itu kenal Allah dulu. Itu paling penting. Nak kenal agama kena kenal pencipta dulu. Masa kita kecil, kita kenal mak ayah dulu barulah kita kenal diri sendiri.
"Sama juga dalam agama, kenal Tuhan dulu. Macam mana nak kenal Tuhan? Mengaji. Dalam Al-Quran, Allah berkata-kata. Dari situ kau kenal Tuhan," katanya. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My