Peguam pemerhati kes Bella berpuas hati dengan perjalanan perbicaraan setakat ini yang berjalan dengan kemas, baik, berhemah dan bertatasusila secara profesional kepeguaman.
Peguam pemerhati, Mohd Radzi Yatiman berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada mahkamah, barisan Timbalan Pendakwa Raya, pasukan peguam pembelaan serta masyarakat awam kerana memberikan tumpuan secara profesional dan menjalankan tugasan masing-masing berpandukan undang-undang dalam satu perbicaraan jenayah. "Secara tidak langsung, ia dapat memastikan keadilan terlaksana kepada pihak terkesan, keadilan kepada mangsa adik Bella, keadilan kepada Siti Bainun, keadilan kepada saksi-saksi dan keadilan kepada masyarakat.
"Ini sangat signifikan kepada kepentingan awam sebagai sebuah negara berdaulat dan berperlembagaan, yang mana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi antara teras sebuah negara bangsa yang merdeka," katanya dalam kenyataan semalam. Beliau bagaimanapun berkata, terdapat keperluan agar perbicaraan dalam dijalankan secara berterusan dalam masa munasabah. Sebelum ini media melaporkan, seramai empat peguam pemerhati dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap kes penderaan Bella. Kisah Bella yang didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang kini sedang dibicarakan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT